Sejak kebelakangan ini muncul pelbagai laporan yang bercanggah mengenai loom bands (gelung plastik) dan ftalat – sejenis bahan kimia berbahaya yang biasanya terkandung di dalam barangan plastik. Loom bands kini menjadi kegemaran ramai, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa. Oleh itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa bimbang mengenai laporan yang bercanggah mengenai sama ada loom bands selamat atau tidak untuk digunakan. Kami percaya adalah penting semua loom bands diuji dan hasil ujian tersebut dihebahkan kepada orang ramai supaya mereka tahu mana yang selamat dan mana yang tidak.
Produk loom bands mula-mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) di bawah jenama Rainbow Loom, di mana ia dengan cepat menjadi kegemaran ramai dan kemudian berkembang ke seluruh dunia. Namun begitu, baru-baru ini ia telah diharamkan di United Kingdom apabila dikesan mengandungi ftalat pada paras yang tinggi. Di banyak negara, alat mainan cuma boleh mengandungi 0.1% ftalat tetapi kebanyakan jenama loom bands di pasaran didapati mengandungi antara 40% – 50% ftalat. Harus diingat, loom bands yang mengandungi ftalat pada paras yang tinggi adalah barangan tiruan yang murah.
Walaupun kerajaan United Kingdom (UK) telah mengharamkan loom bands kerana kandungan ftalat yang tinggi dalam loom bands tiruan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah berkata apa juga risiko keselamatan berhubung loom bands cuma membabitkan kanak-kanak yang mungkin mengunyah dan menghisap loom bands dalam masa yang lama. Selanjutnya beliau berkata, tidak ada risiko ancaman bahaya bagi kanak-kanak yang lebih besar mahupun orang dewasa. Malah kita tidak perlu bimbang jika kulit bersentuhan dengan loom bands tersebut.
Loom bands juga dikatakan tidak perlu diharamkan kerana ia tidak diklasifikasikan sebagai alat mainan di Malaysia tetapi sekadar aksesori atau barang perhiasan tiruan; justeru ibu bapa tidak seharusnya memberikan loom bands kepada anak mereka yang berusia 4 tahun ke bawah.
Jelaslah faktor keselamatan loom bands kurang dititikberatkan dan perkara ini amat membimbangkan kerana bahan kimia ftalat yang terkandung didalamnya boleh memudaratkan kesihatan jika berada pada kadar yang tinggi di dalam tubuh. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan kesan buruk ftalat kepada manusia, dan hasil kajian mendapati beberapa keadaan boleh dikaitkan dengan kehadiran ftalat dalam tubuh. Di antaranya termasuklah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, alahan, kerosakan hati dan testis, risiko lebih tinggi diabetes apabila dewasa kelak, berat badan bayi yang rendah, gejala ADHD, kanser payudara dan perkembangan sistem pembiakan lelaki terbantut. Ringkasnya, ftalat bersifat karsinogenik, mutagenik dan boleh menyebabkan gangguan endokrin serta pelbagai masalah sistem pembiakan.
Sewaktu meneliti maklumat yang tidak konsisten ini, terdapat beberapa perkara berbangkit iaitu:
- Kebanyakan loom bands yang terdapat di Malaysia sama seperti yang dijual di negara lain, seperti United Kingdom, yang kini telah mengharamkan loom bands. Ia adalah produk tiruan tanpa jenama yang boleh dibeli dengan harga yang murah, dan kecenderungan sesuatu produk yang murah mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya pada paras yang tinggi biasanya amat tinggi.
- Pembungkusan kebanyakan loom bands di Malaysia bukan di dalam bahasa Produk yang dijual di sini sepatutnya dilabelkan dengan sempurna dalam bahasa tempatan agar pengguna boleh membuat keputusan yang betul jika ingin membelinya. Pembeli seharusnya tahu beberapa perkara tertentu sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk, sama ada ia mengandungi bahan alahan, jenis bahan-bahan kimia di dalamnya, sama ada terdapat sebarang amaran yang perlu dipatuhi dan dari negara mana produk itu dihasilkan.
- Produk loom bands pada asalnya dicipta dan dipasarkan sebagai alat mainan di AS; justeru itu seluruh dunia mengenali loom bands sebagai alat mainan. Oleh kerana ia dihasilkan sebagai alat mainan, mengapa pula negara kita tidak melabelnya sebagai alat mainan seperti di negara-negara lain? Jika Malaysia melakukan perkara yang sama, loom bands akan berada di bawah Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak 2010 dan kekeliruan mengenai keselamatan produk tersebut pasti tidak timbul.
Sehubungan dengan semua perkara yang dinyatakan tadi, kami ingin menekankan perkara-perkara yang berikut:
- Kementerian Kesihatan perlu menjalankan ujian ke atas semua produk loom bands di pasaran dan menghebahkan hasil ujian tersebut kepada orang ramai untuk mengelak kekeliruan yang timbul ketika ini.
- Menarik balik loom bands dari pasaran sehingga ia terbukti selamat untuk digunakan.
- Memberi amaran kepada ibu bapa dan kanak-kanak supaya tidak membeli loom bands yang sudah siap untuk digunakan atau kit loom bands sehingga status selamat produk berkenaan tidak lagi diragui.
Surat kepada Pengarang, 23hb. September 2014