Utamakan Menambah Baik Hospital Awam dan Bukannya Pelancongan Perubatan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima peningkatan bilangan aduan oleh pengguna mengenai premium insurans kesihatan mereka yang melambung tinggi dalam tempoh beberapa tahun yang lalu. Dalam siasatan didapati ia berlaku akibat peningkatan bayaran perubatan yang dikenakan oleh hospital swasta. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara (BNM) 2019, tuntutan insurans kesihatan perubatan (MHI) berkembang 11.6 peratus setahun antara 2016 dan 2019. Ia menyatakan bahawa “peningkatan tuntutan terus mendahului peningkatan dalam premium” yang berkembang secara purata 9.5 peratus setahun.

Kos penjagaan kesihatan swasta merupakan salah satu alasan utama bagi peningkatan premium insurans kesihatan. Menurut tinjauan global mengenai trend perubatan pada 2019, Malaysia berada di peringkat antara yang tertinggi di Asia Tenggara dalam bentuk kos perubatan. Akan sampai masanya apabila orang ramai tidak lagi mampu untuk membayar insurans kesihatan dan pemegang polisi sedia ada mungkin membiarkan polisi mereka luput.

Dilaporkan dalam media bahawa 80 peratus orang ramai mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan awam manakala bilangan pesakit yang pergi ke hospital swasta telah jatuh kepada 70 hingga 80 peratus pada tahun lepas.

Senario seperti itu tidak memberikan manfaat kepada negara memandangkan hospital swasta akan mengalami kemerosotan dalam bilangan pesakit memandangkan orang ramai tidak lagi mampu untuk mendapatkan rawatan di sana manakala kemudahan penjagaan kesihatan awam akan berlaku kesesakan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa hanya 22% daripada penduduk dilindungi oleh Insurans Kesihatan Diri. Majoriti besar bergantung kepada hospital awam bagi rawatan perubatan.

NHMS 2019 mendedahkan bahawa 81.4% isirumah menggunakan pendapatan semasa untuk membayar perkhidmatan kesihatan, dan hanya 8.1% menggunakan bayaran balik insurans. Wang perlu dipinjam daripada keluarga dan kawan-kawan untuk membayar perkhidmatan kesihatan bagi 10.9% isirumah.

Medical Procedures and Services Nomenclature (MPSN) and Relative Values berfungsi sebagai garis panduan pengamal perubatan swasta mengenai yuran profesional. Bagaimanapun, perkhidmatan dan bekalan hospital yang terdiri daripada barangan seperti pengimejan dan ujian makmal, ubatan, perawatan dan peralatan perubatan (seperti ventilator perubatan, mesin dialisis dan mikroskop mata) tidak berada dalam skop garis panduan ini.

Laporan Tahunan BNM 2019 menyatakan bahawa “analisis data tuntutan insurans 2013 hingga 2018 menunjukkan bahawa perkhidmatan dan bekalan hospital membentuk komponen terbesar kos tuntutan dan salah satu faktor utama yang mendorong peningkatan dalam caj hospital” dan ini membentuk purata lebih daripada 50 peratus daripada bil perubatan. Kami menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menangani isu ini kerana ia telah menjadi aduan biasa dalam kalangan pengguna yang mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan swasta.

Pada Oktober 2019, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi Majlis Pelancongan  Kesihatan Malaysia (MHTC) sempena Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYHT) 2020.

Kami percaya bahawa peningkatan kos rawatan di hospital swasta adalah akibat daripada mempromosi pelancongan perubatan. Keutamaan perlu diberikan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam kita dan tidak membantu hospital swasta memaksimumkan keuntungan mereka melalui merawat pelancong perubatan asing. Menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik adalah kewajipan bagi kerajaan dalam memenuhi hak asas rakyat kita terhadap kehidupan.

Cara untuk menurunkan kos kesihatan dalam jangka panjang ialah untuk kita mencegah penyakit serius.

NHMS 2019 mengenal pasti tekanan darah tinggi, diabetes, dan kolesterol tinggi sebagai tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah antara faktornya – tekanan darah tinggi, diabetes, kanser, dan peningkatan jumlah kolesterol – yang menyebabkan orang ramai ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira 6.4 juta orang dewasa di Malaysia menghidap tekanan darah tinggi; 3.9 juta, diabetes; dan 8 juta dengan peningkatan jumlah kolesterol.

Dengan bersenam, mengekalkan diet seimbang, berhenti merokok, mengelakkan minuman dan makanan bergula, dan mengelakkan daripada mengambil alkohol, risiko NCD boleh dikurangkan dengan secara drastik, di mana seseorang itu boleh menikmati kesihatan yang baik.

Kerajaan perlu menggunakan ‘cukai dosa’ (‘sin tax’) daripada minuman bergula, tembakau, alkohol, dan judi untuk mengalakkan gaya hidup sihat dan menaik taraf hospital awam.

Kami menggesa orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat untuk menggelakkan daripada mendapat risiko NCD. Sementara itu, bagi mereka yang memikirkan untuk mendapatkan insurans kesihatan perlu menyedari bahawa ia adalah komitmen jangka panjang. Pemegang insurans kesihatan mungkin perlu membayar lebih seiring dengan usia pada selang masa yang tetap. Seperti mereka perlu membayar lebih ketara pada masa mereka bersara dan dengan simpanan yang terhad.

Kami menggesa kerajaan supaya menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi dengan perwakilan daripada profesion perubatan, KKM, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji dan membuat saranan bagi memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat di Malaysia.

 

Kenyataan Akhbar, 1 Disember 2021