Sementara Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan pengharaman sementara yang diumumkan baru-baru ini oleh negara China terhadap pemburuan, penjualan, pengangkutan dan eksport semua haiwan liar sebagai tindak balas kepada wabak Covid-19, penyelesaian yang lebih kekal diperlukan bagi mencegah berulangnya wabak seperti itu, bukan hanya di China tetapi di semua negara.
Ini memerlukan pengharaman kekal ke atas perdagangan, penjualan, pengambilan dan memakan hidupan liar dan kawalan yang lebih ketat dalam penguatkuasaan dan pendakwaan aktiviti haram seperti itu terutama sekali bersabit memakan haiwan liar.
Kebanyakan perdagangan hidupan liar sudah pun haram tetapi langkah penguatkuasaan dan pendakwaan yang lebih ketat kekal menjadi cabaran di banyak negara.
Adalah satu tragedi apabila pengajaran tidak dipelajari daripada wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Severe Acute Respiratory Syndrome – SARS) pada 2002-2003 yang dikesan daripada pengambilan haiwan liar di Guangdong, China.
Dalam wabak SARS di China, walaupun terdapat tindakan keras ke atas penyeludupan hidupan liar, penjualannya muncul semula kira-kira enam bulan selepas wabaknya pudar pada pertengahan tahun 2003.
SAM bimbang sebaik sahaja wabak Covid-19 mulai pudar, negara-negara akan mula perlahankan kewaspadaan mereka dan terus membenarkan perdagangan dan penjualan haiwan liar termasuk yang terancam akibat permintaan tanpa henti untuk makanan eksotik dan ramuan bagi ubatan tradisional.
Kebanyakan koronavirus baru-baru ini dikesan daripada satu atau lebih haiwan hidup di pasar Wuhan, China, di mana pasar basah mengandungi banyak haiwan yang stress (tertekan), yang liar dan peliharaan, meringkuk dalam kurungan dan tangki, menunggu giliran untuk disembelih.
Pakar-pakar percaya bahawa penangkapan, pengangkutan, perdagangan dan penyembelihan haiwan liar, semuanya menyumbang kepada berlakunya masalah kesihatan yang serius, sepertimana yang dibuktikan daripada masalah kesihatan yang menakutkan baru-baru ini.
Haiwan yang dijual di pasar ini sering dikurung dalam keadaan kotor dan dibiarkan dalam kekotoran najis, di mana ia akan menyebabkan penyakit yang boleh dipindahkan kepada manusia. Keadaan yang sama ditemui di pasar di seluruh negara dan menjadi sumber kebimbangan kesihatan di masa lalu.
Gambar media menunjukkan pelanggan, kadangkala dengan kanak-kanak, melihat-lihat di pasar Asia di tengah-tengah haiwan yang sesetengahnya masih hidup, manakala yang lain baharu dibunuh dalam keadaan terang-terangan, gerai yang dipenuhi darah yang menarik keghairahan untuk apa yang dianggap oleh pelanggan sebagai hasil yang lazat, didorong oleh selera untuk “daging yang masih hangat”.
Daripada tenggiling, musang, ular, salamander, kala jengking, landak, dan wolf puppies hinggalah kepada ferret-badger, raccoon dog dan civet, terdapat tradisi lama memakan spesies haiwan liar ini.
Apa yang perlu disalahkan ialah pasar haiwan liar, restoran, dan individu yang rakus, tetapi bukannya kelawar atau spesies hidupan liar lain.
Permintaan tanpa henti untuk makanan dan ramuan eksotik bagi ubatan tradisional mempercepatkan lagi kepupusan banyak spesies hidupan liar sebagai tambahan kepada terdedah kepada ancaman kesihatan di mana pihak berkuasa China gagal untuk menangani sepenuhnya walaupun risiko wabak global semakin meningkat.
Di Indonesia juga, walaupun amaran supaya tidak menjadikan hidupan liar sebagai menu makanan, kelawar, tikus dan ular bersama spesies haiwan peliharaan, boleh diperolehi dengan mudah di pasaran. Haiwan ini mendapat permintaan yang tinggi selepas pengguna menegaskan kebaikannya dengan pujian yang diberikan.
Ini membawa kepada gesaan untuk penelitian segera dan serius serta mengukuhkan peraturan dan undang-undang perlindungan hidupan liar dalam usaha untuk mengambil tindakan keras dan tegas dalam penyeluduan hidupan liar.
Tindakan tegas mestilah diambil untuk mengharamkan perniagaan hidupan liar di pasar basah melalui penyeliaan yang berterusan, pemeriksaan dan menguatkan penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan perdagangan hidupan liar diharamkan sepenuhnya.
Pengharaman kekal bukan sahaja akan menyelamatkan nyawa manusia tetapi turut menyumbang kepada pemulihan bilangan hidupan liar di seluruh dunia.
Pada hakikatnya, pakar hidupan liar menekankan bahawa pengharaman dan peraturan produk hidupan liar perlu untuk seluruh dunia dan tidak hanya di China sahaja.
China mestilah menjadi peneraju dalam memerangi perdagangan hidupan liar haram bersama dengan kerajaan semua negara. Mengharamkan pemilikan hidupan liar yang diperdagangkan atau yang diburu secara haram akan mengurangkan permintaan dan dengan itu mengurangkan perdagangan itu sendiri.
Amaran-amaran daripada wabak SARS dan Covid-19 sudah cukup untuk kita ambil tindakan.
Marilah kita bertindak dengan segera untuk mencegah satu lagi krisis kesihatan di seluruh dunia yang bukan hanya membawa kepada kematian yang boleh dicegah dan kesihatan yang buruk tetapi juga menyumbang kepada kerugian ekonomi yang terus meningkat.
Surat Kepada Pengarang, 21 Februari 2020