‘WINDOWS’ YANG DITINGKATKAN UNDANG LEBIH BANYAK MASALAH

Apabila anda memasang program yang lebih maju (advanced) pada komputer, anda berharap ia akan memberi faedah yang lebih baik kepada anda. Namun bukan itu halnya apabila Microsoft memperkenalkan Windows 10.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kecewa apabila terdapat begitu banyak aduan berhubung Windows 10 daripada pengguna di seluruh dunia.

Tahun lalu Microsoft mengumumkan bahawa ia tidak lagi menyokong versi lama Windows jika komputer tidak dipertingkatkan ke Windows 10. Ia menawarkan Windows 10 secara percuma kepada mereka dengan komputer yang mengguna pakai Windows 7 atau 8 sementara mereka yang tidak menaiktarafnya tidak akan menerima bahan kemas kini yang penting dan ciri-ciri keselamatan.

Dengan berbuat demikian, Microsoft telah menyekat pilihan berjuta pelanggan untuk memilih kerana jika mereka memilih untuk kekal dengan versi lama, mereka mendedahkan komputer masing-masing kepada risiko keselamatan. Mereka juga harus menggunakan sistem operasi (Window 10) yang kurang boleh diharap berbanding komputer sebelumnya.

Terdapat banyak kes di mana sistem operasi (OS) ini dipasang tanpa kebenaran pengguna. Seorang wanita, Anita Elias, dari London ditawarkan £500 (RM2,560) sebagai ehsan Microsoft selepas Windows 10 dipasang tanpa izinnya; program-program mendapatkan semula data dan perisian antivirus pada komputer ribanya terpadam, dan operasi komputer ribanya menjadi sangat perlahan.

Microsoft nampaknya tidak mengambil kira kemungkinan perisian komputer lama serasi dengan Windows 10. Pemilik komputer juga mungkin menggunakan perisian produktiviti lebih lama atau yang diambil daripada pihak ketiga (bukan Microsoft).

Perisian pihak ketiga mungkin tidak berfungsi dengan baik kerana syarikat yang mengeluarkannya belum menguji produk mereka dengan Windows 10 kerana program mereka dihasilkan sebelum Windows 10 diperkenalkan, ataupun syarikat itu sendiri tidak lagi menyokong perisian mereka yang berfungsi dengan baik ketika menggunakan versi Windows yang lama.

Anda boleh membayangkan kekecewaan pengguna Windows 10 apabila menghadapi masalah disebabkan program berkenaan atau masalah akibat kehilangan data.

Di antara aduan yang diterima termasuklah program lama yang dipasang pada komputer sama ada tidak serasi, terpadam atau tidak lagi mampu berfungsi dengan OS yang dipertingkatkan itu.

Apabila sistem itu gagal, membaiki komputer adalah terlalu mahal. Sesetengah mengadu alatan seperti pencetak, kad Wi-Fi dan speaker tidak lagi dapat digunakan selepas OS baharu dipasang.

CAP ingin bertanya:

  • Kenapakah sistem operasi Windows 10 tidak “dinyah pepijat” (debugged) dengan secukupnya sebelum ia memujuk pengguna komputer supaya menukarnya dalam keadaan tergesa-gesa?
  • Apakah Microsoft akan membayar pampasan kepada pengguna yang menggunakan sistem operasi itu jika komputer mereka tidak dapat digunakan?
  • Kenapakah Microsoft membuat andaian bahawa kebanyakan komputer mempunyai sistem terbaharu yang cukup untuk menampung penggunaan Windows 10 dan mengabaikan komputer lain dengan sistem lama?
  • Adakah pemilik komputer dengan sistem lama wajar diketepikan oleh Microsoft dengan tidak lagi menyediakan kemas kini yang penting dan ciri-ciri keselamatan, dengan itu mendedahkan komputer mereka kepada risiko keselamatan?

Microsoft tidak sepatutnya menghalang pengguna komputer daripada memilih antara Windows versi lama dengan Windows 10.

CAP berpendapat adalah tidak adil bagi Microsoft membenarkan Windows 10 dipasang tanpa kebenaran pemilik komputer,  apatah lagi jika dengan memasangnya akan menimbulkan pelbagai masalah yang dikaitkan dengan OS.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (MDTCC), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu segera melaksanakan mekanisma untuk pengguna komputer menuntut pampasan daripada Microsoft jika timbul sebarang masalah ketika menggunakan Windows 10.

MDTCC dan MCMC perlu menimbangkan Seksyen 32 Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu terdapat “implied guarantee” bahawa barangan (dalam hal ini, perisian) berada dalam “kualiti boleh diterima” dan “bebas dari kecacatan kecil”.

 

Surat kepada Pengarang, 3 November 2016