Persatuan Pengguna Pulau Pinang ingin memuji kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa, yang merayu kepada kerajaan persekutuan agar menghalang Kerajaan Negeri Kedah daripada membenarkan kegiatan pembalakan di Hutan Ulu Muda.
Beliau dengan jelas menyebut fakta-fakta bagaimana pembalakan di Hutan Ulu Muda akan memberikan kesan buruk terhadap peranan Sungai Ulu Muda sebagai sumber air mentah bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dan menjejaskan bekalan air kepada 4.2 juta penduduk. Kami menggalakkan mereka yang belum membacanya untuk segera berbuat demikian; orang ramai perlu memahami bagaimana dan kenapa pembalakan di Hutan Ulu Muda boleh menjejaskan kehidupan mereka.
Masalah pemanasan bumi jelas menyebabkan musim kemarau agak drastik dan ia turut menjejaskan paras air di empangan buatan manusia. Misalnya pada 24 Ogos 2020, paras air di empangan Teluk Bahang dilaporkan cuma mampu bertahan (mengikut anggaran) selama 52 hari kerana taburan hujan yang rendah. Tambahan pula, meskipun Pulau Pinang menerima hujan lebat minggu lalu, CEO PBAPP itu berkata, Empangan Teluk Bahang hanya mampu menampung 22.6% iaitu “paras rendah yang luar biasa”. Ini membuktikan kenapa kawasan tadahan air semula jadi memainkan peranan penting dan perlu dipelihara dengan sebaik mungkin.
Selain itu CAP ingin menjelaskan, dalam kenyataan Dato’ Jaseni, beliau turut mengetengahkan hakikat bahawa pembalakan yang dijalankan di Hutan Ulu Muda akan menyebabkan pencemaran di Sungai Ulu Muda. Kita tidak harus lupa mengenai dua kes pencemaran air yang berlaku baru-baru ini di Selangor yang menyebabkan ramai isi rumah berdepan masalah ketiadaan air selama berhari-hari. Kita tidak sepatutnya membiarkan perkara sama berlaku di Sungai Ulu Muda hingga menjejaskan kehidupan 4.2 juta penduduk di tiga negeri.
Sehubungan itu, kami mengulangi gesaan beliau kepada Kerajaan Persekutuan agar menghentikan rancangan kerajaan negeri Kedah untuk membenarkan pembalakan di Hutan Ulu Muda.
Surat kepada Pengarang, 14 Oktober 2020