Adakah kita sedang mengadakan ‘jualan murah’?

Dengan bantahan antikerajaan yang sedang berlaku di Hong Kong, pemaju Malaysia secara langsung menarik pelabur Hong Kong untuk membeli hartanah di sini. Ini mungkin akan mengatasi masalah hartanah yang tidak terjual di dalam pasaran hartanah tempatan tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah perumahan yang sedang dihadapi oleh orang ramai.

Pulau Pinang, Selangor dan Johor telah menetapkan harga hartanah minimum tertinggi bagi rakyat asing untuk memiliki hartanah. Bagi Selangor dan Johor, harga yang ditetapkan adalah daripada RM2 juta ke atas bagi unit kediaman.

Rakyat asing tidak dibenarkan untuk membeli rumah bertanah di Pulau Pinang yang bernilai kurang daripada RM3 juta dan unit bertingkat yang kurang daripada RM1 juta. Mereka hanya boleh membeli hartanah bertanah bernilai minimum RM1 juta dan unit bertingkat dengan harga RM500,000 di Seberang Perai.

Sejak diperkenalkan dasar Malaysia Rumah Kedua (MM2H) pada 2002 hingga 2018, terdapat hanya 42,271 peserta yang diluluskan daripada 130 negara.

Carta mata wang bersamaan di bawah menunjukkan kenapa pasaran hartanah kita boleh dianggap ‘jualan murah’ untuk rakyat asing:

Apakah hartanah rakyat Hong Kong boleh beli dengan HK$6 juta(RM3.2 juta)? Menurut Demographia (2019), Hong Kong adalah paling kurang pasaran perumahan yang mampu untuk dimiliki di dunia. Pada 2016, studio apartmen berkeluasan 292 kaki persegi (dipanggil ‘nano-flat’) dijual pada harga HK$6 juta. Pada 2018, rumah kecil berkeluasan 178 kaki persegi berharga HK$3.5 juta (RM1.8 juta).

Bagi mereka yang memiliki dolar AS dan Singapura untuk dibelanjakan, RM3 juta kita bersamaan AS$718,787 atau S$995,405. Dengan RM3 juta (HK$5.6 juta), rakyat Hong Kong mampu untuk membeli hampir sebuah banglo mewah di Tanjung Bungah berkeluasan 2,000 kaki persegi (saiz binaan) dan hampir 11 kali saiz rumah kecil Hong Kong berkeluasan 178 kaki persegi.

Tidak hairanlah rakyat Singapura datang ke Pulau Pinang membeli bangunan sebelum perang sekitar 2008 apabila George Town diisytiharkan sebagai kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Akibatnya, harga rumah di pusat bandar George Town meningkat melangkaui kemampuan kebanyakan penduduk tempatan untuk menyewa atau membeli.

Menggalakkan rakyat asing untuk memiliki hartanah di sini memberikan kesan yang tidak diinginkan seperti menyebabkan harga hartanah meningkat disebabkan oleh permintaan, memburukkan lagi kekurangan tanah semasa dan menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

Adakah Pulau Pinang akan menjadi satu lagi Hong Kong di mana penduduk miskin dipaksa hidup di kawasan setinggan dan flat kecil apabila harga hartanah menjadi terlalu mahal bagi mereka yang berpendapatan biasa atau warga tua?

Sebagai ganti tunduk kepada pemaju yang mahu membina rumah dan kondominium mewah yang hanya mampu dibeli oleh segelintir penduduk tempatan, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan flat sewa untuk dimiliki (RTO), perumahan mampu milik dan kos rendah bagi golongan miskin. Adakah hartanah yang tidak terjual pada masa kini disebabkan oleh pemaju terlebih yakin mengenai pasaran perumahan tanpa melihat realiti ekonomi dan ketidakmampuan pembeli rumah yang berpotensi untuk mendapatkan pinjaman bank?

Kerajaan perlu mengubah seluruh dasar perumahan yang tidak memberikan manfaat kepada kumpulan berpendapatan rendah dan membolehkan pemaju mengaut keuntungan dalam menyediakan perumahan kos rendah. Sering kali flat yang sepatutnya berharga RM72,500 dijual pada harga yang lebih tinggi, kadangkala lebih daripada RM120,000. Kos ubah suai dan parkir kereta yang tidak diminta oleh pembeli turut dimasukkan ke dalam harganya. Pembeli diberikan pilihan sama ada untuk menerima pakej itu atau kehilangan tawaran. Pemaju membina rumah mampu milik dan kos rendah hanya untuk memenuhi peraturan kerajaan dan cuba untuk mengelak seberapa yang boleh untuk membantu golongan B40 dan mereka yang memerlukan rumah.

Kami menggesa kerajaan mengutamakan dasar perumahan yang membolehkan B40 mempunyai tempat tinggal tanpa beban kewangan. Dasar Malaysia Rumah Kedua perlu dihapuskan. Pihak berkuasa juga mestilah memastikan rumah kos sederhana dan kos rendah berkualiti untuk didiami dan dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

Kenyataan Akhbar, 10 September 2019