Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah benih padi yang dihadapi oleh 600 pesawah di kawasan Utan Aji, Perlis ketika ini.
Sepatutnya petani terbabit memulakan tanaman padi mereka pada minggu ini namun bekalan benih padi bagi tujuan tersebut sehingga kini masih tidak kelihatan di gudang pembekal.
Mengulas laporan akhbar tempatan ( Utusan Malaysia : 1 Oktober 2019 ) mengenai perkara itu, CAP kesal dan bimbang dengan masalah yang dihadapi oleh para pesawah di kawasan tersebut kerana ia menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim ini dan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang.
Malah kelewatan bekalan benih padi ini juga menyebabkan para pesawah membelinya dengan harga yang lebih mahal. Musim lalu harga benih padi sekitar RM33 hingga RM35 sekampit dan kini mencecah RM40 sekampit.
Merujuk kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan bahawa masalah itu akan selesai pada minggu ini, CAP berharap isu berkenaan dapat ditangani tepat pada waktu seperti yang dijanjikan.
CAP juga bimbang bekalan benih padi yang diperlukan negara iaitu 72,000 tan metrik setahun tidak mencukupi kerana tinjauan CAP mendapati ramai pesawah yang terpaksa menggunakan lebih banyak benih padi pada setiap musim penanaman kerana benih padi mereka musnah dimakan serangga perosak, diancam banjir dan tidak tumbuh selepas ditabur.
Pada masa yang sama CAP turut menggesa kementerian berkenaan mengkaji semula kaedah tabur terus yang diamalkan pesawah ketika ini kerana sistem itu memaksa mereka menggunakan lebih banyak benih padi dan menimbulkan berbagai masalah selepas ditabur.
Kemungkinan masalah-masalah tersebut mendorong kepada perbuatan menyorok benih padi oleh pihak pembekal yang tidak bertanggungjawab. Kerana itu pihak kementerian perlu mengambil tindakan undang-undang yang tegas kepada pembekal terbabit.
Justeru CAP mencadangkan supaya MADA dan Jabatan Pertanian membuat kajian serta tinjauan secara menyeluruh bagi mengenal pasti kawasan-kawasan penanaman padi yang bermasalah agar persediaan awal dapat dilakukan bagi mengelak para pesawah terjejas aktiviti mereka dan mengalami kerugian pada setiap musim penanaman.
Kenyataan Media, 4 Oktober 2019