Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengingatkan pemandu yang mengalami kemalangan jalan raya selepas lewat malam memandangkan terdapat kemungkinan mereka akan dikenakan caj yang berlebihan oleh bengkel yang menunda kenderaan mereka.
CAP sebelum ini menerima aduan daripada pemandu yang mengalami kemalangan jalan raya selepas lewat malam. Keretanya ditunda pada jarak kurang 3 kilometer tetapi beliau dikenakan caj RM800.00 untuk perkhidmatan itu.
Pada hakikatnya memang diketahui umum bahawa sebarang perkhidmatan selepas lewat malam akan dikenakan kos yang lebih berbanding waktu biasa tetapi semua perkara yang dianggap mahal selepas perkhidmatan lewat malam masih dianggap munasabah.
Tinjauan yang dilakukan menunjukkan menunda jenis kereta pengadu bagi jarak yang kurang 3 km adalah dianggarkan RM150.00 jika ditunda pada waktu biasa. Oleh itu, caj selepas waktu lewat malam bagi menunda sepatutnya sekali ganda.
Memandangkan bengkel mengenakan caj bayaran yang tidak adil kepada pengadu, kami menghubungi KPDNHEP, PIAM, SPAD dan JPJ, tetapi kami dimaklumkan bahawa isu bayaran menunda kenderaan tidak berada di bawah bidang kuasa mereka.
Kami juga menghubungi pihak bengkel, bagaimanapun mereka hanya memberikan maklum balas selepas surat kedua daripada kami kepada mereka dengan memberikan pecahan bayaran RM800.00 yang dikenakan kepada pengadu. Berikut adalah butiran lanjut daripada surat mereka kepada kami:-
- Caj tunda RM220.00 (flatbed carrier tow truck dan kes lewat malam)
- Pemandu trak tunda RM80.00
- Talkie runner RM60.00 x 6 orang (untuk mengawal lalu lintas di tempat kemalangan)
- Informer RM50.00 (orang yang memberikan maklumat kepada kami mengenai kes kemalangan dan mereka meminta komisen jika kereta itu ditunda oleh kami)
- Menguruskan pemilik ke balai polis untuk membuat laporan RM90.00
Pihak bengkel cuba untuk mewajarkan pecahan caj RM800.00 yang dikemukakan kepada kami dengan menyatakan mereka hanya “mengikut garis panduan oleh pihak persatuan mereka”.
CAP meminta salinan garis panduan yang disebutkan itu daripada pihak bengkel tetapi apabila mereka gagal untuk memberikan kami salinan itu, kami kemudiannya mengemukakan permintaan itu kepada Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Motor Pulau Pinang (PMVWOA).
Akhirnya, kedua-kedua pihak tidak dapat memberikan kepada kami “garis panduan” sepertimana yang didakwa oleh bengkel setelah dipersoalkan dan dikatakan mengikutinya.
Sebagai ganti pihak bengkel membayar balik kepada pengadu separuh daripada RM800.00 yang diambil daripadanya; dengan menjadikan bayaran menunda hanya RM400.00, yang mana lebih munasabah berbanding bayaran asal.
Kegagalan bengkel menyediakan salinan “garis panduan” serta keputusan mereka untuk membayar balik RM400.00 kepada pengadu menunjukkan kepada kami bahawa bayaran menunda RM800.00 yang dikenakan kepada pengadu itu adalah tidak adil, sewenang-wenangnya dan tidak wajar.
Kami berharap agar orang ramai boleh mempelajari daripada kejadian ini dan jika mereka perlu menunda kenderaan selepas lewat malam, mereka harus berhati-hati jika pihak bengkel cuba untuk mengenakan bayaran yang berlebihan bagi perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.
Kami juga menggesa pihak berkuasa berkaitan, dalam kes ini KPDNHEP, untuk mengawal caj menunda dan caj bengkel lain yang samar-samar. Masalah ini tidak akan berlaku jika caj menunda dikawal.
Surat Kepada Pengarang, 21 Mac 2019