Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kastam dan Polis mengambil tindakan keras di seluruh negara berhubung penyeludupan dan penjualan mercun dan bunga api.
Pada awal Jun tahun ini ketika perayaan Hari Raya, CAP memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung penjualan berleluasa mercun dan bunga api yang diharamkan. Pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah besar barangan seludup ini. Dalam tinjauan kami dalam beberapa hari yang lalu mendapati mercun dan bunga api yang sama dijual secara terbuka sehingga penjualannya dipromosikan melalui media sosial seperti WhatApps dengan menyediakan senarai mercun dan harganya.
CAP menggesa pihak berkuasa mengenakan denda yang lebih berat terhadap pesalah termasuk hukuman penjara sejak lebih dua dekad yang lalu. Kami percaya jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan barangan ini boleh dikawal dan pengaliran keluar Ringgit dapat ditangani.
Pegawai Penguatkuasa Kastam Kelantan merampas mercun dan bunga api bernilai RM151,160 pada Mei 2018 dan menahan pemandu lori yang terlibat dalam kes itu. Dalam kes ini, jika penyeludupan itu berjaya, mereka yang membeli bahan letupan ini telah melanggar Akta Bahan Letupan 1957 dan pihak Kastam kehilangan RM98,254 dalam bentuk cukai.
Peningkatan dan kekerapan insiden penyeludupan, pengedaran dan penjualan mercun dan bunga api hanya boleh dihentikan melalui penguatkuasaan yang tegas dan dengan kerjasama daripada orang ramai untuk tidak membeli barangan seludup. Di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati mengeluar, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dipenjarakan tidak kurang lima (5) tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Perlanggaran undang-undang sedia ada untuk mengawal penyeludupan yang berleluasa, pengedaran dan penjualan barangan seludup jelas tidak diambil serius oleh pelakunya.
Oleh itu, undang-undang seharusnya dipinda dengan memasukkan perkara berikut:
- Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas harta dan aset mereka;
- Kenderaan yang ditemui bersama barangan seludup perlu dirampas dan dilelong untuk sumber kewangan negara.
Keseronokan dan kegembiraan orang ramai yang bermain mercun dan bunga api berbahaya secara terbuka menunjukkan pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghentikannya. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap mereka yang ditangkap bermain dengan mercun dan bunga api. Denda yang berat dan hukuman penjara perlu dikenakan ke atas peruncit dan mereka yang ditangkap bermain dengan mercun dan bunga api. Ibu bapa kanak-kanak yang ditangkap membeli dan bermain dengan mercun dan bunga api mestilah dipertanggungjawabkan terhadap tindakan anak-anak mereka.
Mercun dan bunga api selain mengganggu orang ramai, ia juga berpotensi menjadi pembakar. Kanak-kanak khususnya amat terdedah kepada kecederaan. Mercun dan bunga api juga menyebabkan kerosakan kepada harta dan nyawa. Tambahan pula, dengan terdapatnya bahan letupan ini, orang boleh mengambil bahan letupan daripada mercun dan bunga api untuk membuat bahan letupan mereka sendiri yang akan berakhir dengan tragedi.
Mercun juga bukan dimainkan ketika musim perayaan utama tetapi juga dibakar ketika perarakan jenazah, perkahwinan dan sambutan hari lahir. Hanya dengan penguatkuasaan yang tegas boleh mengawal penyeludupan dan penjualan barangan seludup.
Memandangkan perayaan Deepavalli semakin hampir, CAP menggesa penguatkuasaan dijalankan dengan lebih kerap dan tegas. Bermain dengan mercun dan bunga api hanya membakar wang hasil titik peluh dalam beberapa minit sahaja.
Kenyataan Akhbar, 29 Oktober 2018