CAP GESA MAFI SEGERA MENYIASAT MASALAH PROJEK PERINTIS PENANAMAN PADI PULUT DI PULAU LANGKAWI

Pesawah yang terlibat menunjukkan saliran yang tidak dibersihkan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) segera menyiasat Projek Perintis Penanaman Padi Pulut Di Pulau Langkawi Kedah yang menimbulkan berbagai masalah kepada pesawah-pesawah yang menyertai projek tersebut.

Projek yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu dilancarkan pada 2019 dan mempunyai 400 orang peserta telah mengusahakan penanaman padi pulut seluas kira-kira 2,000 relong sejak tiga musim yang lalu.

Dalam tinjauan yang dibuat, CAP difahamkan oleh pesawah yang terlibat bahawa  masalah yang berpunca dari kelemahan dan ketidaksempurnaan dalam pengurusan projek tersebut telah menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil pendapatan dan kerugian yang besar.

Pokok padi pulut di Langkawi mati kekeringan.

CAP mendapati kawasan sawah yang ditanam padi pulut kering kontang dan banyak pokok padi telah mati akibat ketiadaan bekalan air, manakala saliran pula dipenuhi semak samun dan tidak dibersihkan.

Seorang pesawah, Ahmad Nayan, 54, memberitahu berikutan masalah yang berlaku seperti kelewatan memulakan kerja-kerja penanaman, bekalan air tidak mencukupi dan lain-lain menyebabkan hasil pendapatannya merosot mencecah 70% pada musim menuai.

Jika tidak berlaku masalah seperti ini para pesawah terbabit mampu memperolehi RM1,600 serelong seperti pesawah yang menanam padi biasa bukan padi pulut, tetapi malangnya para pesawah yang menanam padi pulut di sini hanya mendapat lebih kurang RM200 sahaja serelong,

Ahmad Nayan.
Yaakob Saad.

“Kami amat bimbang terhadap masa depan kami. Sudahlah untuk mendapatkan hasil tuaian mengambil masa yang lama iaitu 6 bulan berbanding padi biasa yang hanya 4 bulan, pertumbuhan pokok padi pulut yang kami usahakan pula  dilanda berbagai masalah dan teruk terjejas hasilnya” kata Yaakob Saad, 74.

Beliau yang turut terlibat dengan projek penanaman padi pulut seluas 7 relong di sini berharap tindakan segera diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. “Kami yang terlibat adalah pesawah miskin yang menyewa tanah sebanyak RM300 serelong bagi menyertai projek ini tetapi hasil yang kami perolehi amat mendukacitakan” jelasnya.

Kasa Murad.

Kasa Morad, 56, seorang lagi pesawah yang tidak berpuas hati dengan tahap kejayaan projek perintis ini meminta pihak pengurusan membayar pampasan kepada pesawah-pesawah yang terlibat bagi meringankan beban hidup mereka yang terpaksa ditanggung selama ini.

CAP bersimpati dengan para pesawah yang menghadapi masalah ini dan berharap siasatan serta tindakan segera dilakukankan oleh MAFI, Jabatan Pertanian dan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan keadaan itu tidak berlarutan dan kehidupan masa depan pesawah terbabit terjamin.

CAP berpendapat mereka yang terjejas sumber pendapatan wajar diberi pampasan yang setimpal di samping meminta MAFI mendedahkan hasil siasatan punca masalah yang berlaku dan tindakan yang diambil bagi menanganinya.

 

Kenyataan Media, 12 Januari 2022