Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengkaji semula pembinaan gerai makanan yang dibina untuk peniaga-peniaga kecil di Lebuhraya Thean Teik, Ayer Itam di sini kerana terlalu sempit dan tidak selesa untuk dikunjungi para pelanggan.
Sebanyak 33 buah gerai telah dibina oleh MBPP di Lebuhraya Thean Teik berhampiran persimpangan ke Paya Terubong bagi menggantikan gerai terdahulu untuk projek pembesaran jalan di kawasan ini.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati gerai-gerai berukuran 12 kaki panjang dan 9 kaki lebar di sini hanya sekadar boleh meletakkan tempat memasak atau penyediaan makanan serta meja menghidang makanan, tetapi terlalu sempit untuk meletakkan meja serta kerusi untuk pelanggan-pelanggan.
Keadaan ini juga boleh mengancam keselamatan para peniaga terbabit dan pelanggan mereka kerana pembinaannya terlalu hampir dengan jalan raya. Malah makanan yang disediakan di gerai-gerai tersebut juga mungkin dicemari habuk dan menjejaskan kesihatan.
Kalangan peniaga yang terlibat mengadu kepada CAP bahawa mereka tidak begitu selesa dengan keadaan gerai sebegini dan bimbang ia boleh menjejaskan sumber pendapatan jika orang ramai tidak berkunjung ke sini.
Selain daripada itu bumbung yang tinggi juga menyebabkan tempias ketika hujan. Tambahan, lantai yang dibina terlalu tinggi dari paras jalan, iaitu lebih dari satu kaki. Ada juga peniaga yang membina tangga sementara sendiri.
CAP berharap agar masalah-masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di sini diberi perhatian serius dan tindakan segera diambil bagi menyelesaikannya.
Kerajaan Pulau Pinang dan MBPP perlu memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga kecil yang terlibat bukannya projek pelebaran jalan raya yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah kesesakan di negeri ini.
CAP mencadangkan supaya satu perbincangan khas diadakan oleh pihak berkuasa dengan peniaga yang terlibat untuk mendapatkan satu penyelesaian yang akan menjamin kebajikan dan keselamatan peniaga serta pengguna.
Kenyataan Media, 2 September 2016