alt

CAP KESAL MASALAH SAMPAH DI PULAU PINANG

alt

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap yang berlaku di pulau ini.

CAP kesal walau pun isu ini sudah lama menjadi rungutan ramai di kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar namun keadaan itu masih tidak berubah hingga sekarang.  Tahun lalu, Kerajaan Pulau Pinang telah membelanjakan 15.8 juta ringgit bagi membersihkan sungai di negeri ini tetapi tidak memberikan kesan.

Tinjauan CAP mendapati masalah ini bukan saja melibatkan beberapa sungai utama dan kawasan pantai tetapi juga parit serta longkang yang teruk tercemar oleh berbagai bahan buangan sehingga menimbulkan bau busuk yang tidak menyenangkan.

Selain sampah, sisa buangan kilang, sisa minyak dari bengkel membaiki kenderaan dan air kumbahan dari premis perniagaan dan kawasan perumahan turut menyumbang kepada masalah ini sehingga air sungai terbabit seperti Sungai Pinang, Sungai Bayan Baru dan Sungai Nipah di pulau ini menjadi hitam pekat.

Di samping itu CAP juga turut mengesan keadaan sampah yang bertaburan di tepi jalan dan dilonggok di tebing sungai berhampiran jalan yang menjadi laluan utama orang awam.

Berhubung jumlah longgokan sampah di dalam Sungai Pinang yang dilaporkan meningkat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), CAP berpendapat kemungkinan keadaan yang sama juga berlaku ke atas sungai-sungai lain di negeri ini.

Sehubungan itu CAP berharap tindakan bersepadu dan tinjauan yang kerap perlu dilakukan oleh MBPP, JPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan bagi memastikan tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan lain-lain bahan buangan dengan sewenang-wenangnya.

Tindakan undang-undang yang tegas dan hukuman yang setimpal perlu diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang terkandung di bawah akta berkaitan.

CAP percaya dan bimbang jika punca masalah ini gagal ditangani secara berkesan ia bukan saja menjejaskan alam sekitar malah kesihatan orang ramai juga akan terancam dengan berbagai penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang. Limpahan air dan banjir kilat juga boleh berlaku ketika hujan kerana kebanyakan sungai serta parit yang tercemar menjadi cetek akibat mendapan bahan buangan.

 

Kenyataan Media, 14 April 2015