Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menyampaikan perasaan bercampur-baur yang kita ada mengenai berita bahawa Carlsberg Malaysia, melalui kempen Safer Schools, menaja perkhidmatan pembasmian kuman ataupun pembersihan untuk 680 sekolah vernakular di zon merah Covid-19 serta menderma termometer dipegang tangan ke semua sekolah vernakular yang layak.
Dalam masa ketidakpastian ini, ia sangat penting bagi syarikat besar melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menyumbangkan sumber yang mereka anggap sesuai untuk meringankan beban yang ditanggung oleh orang ramai disebabkan oleh Covid-19. Matlamat Carlsberg Malaysia untuk meredakan kebimbangan ibu bapa dengan membersihkan sekolah adalah terpuji.
Walaubagaimanapun, kami mesti mengingatkan Carlsberg Malaysia dan juga Kementerian Pendidikan bahawa syarikat itu perlu mengingat dengan tepat jenis perniagaan yang dijalankannya. Ia adalah satu kilang bir yang membuat dan menjual minuman beralkohol dan masyarakat pada amnya menganggap pengambilan minuman beralkohol sebagai satu keburukan kerana kesan negatif yang timbul daripadanya.
Adalah penting bahawa Carlsberg Malaysia tidak menyertakan iklan produk mereka seperti kebanyakan syarikat yang sering membuat demikian ketika menaja sesuatu perkara atas sebab mereka berurusan dengan sekolah dan pelajar sekolah. Kanak-kanak dan remaja memang sangat mudah terpengaruh dan sebab itu mereka tidak patut terdedah kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kesan berbahaya, seperti minuman beralkohol yang dijual oleh syarikat terbabit.
Surat kepada Pengarang, 24 April 2020