Gesaan Tindakan Segera Hentikan Perobohan Kampung Palestin di Wilayah Tebing Barat yang Diduduki 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Malaysia supaya dengan segera mengambil semua langkah yang sewajarnya untuk menghentikan perobohan haram yang berlaku di kampung Palestin Khan al Ahmar, yang terletak di wilayah yang diduduki di Tebing Barat.

SAM adalah ahli Friends of the Earth International (FOEI) dan kami dimaklumkan oleh ahli FOEI, PENGON Palestin mengenai situasi yang amat memeranjatkan di kampung di mana pendatang Israel membina penempatan haram, yang sepatutnya dirobohkan oleh kerajaan Israel selaras dengan undang-undang antarabangsa, telah menyalurkan semula sisa air minggu lepas dan membanjiri kawasan kampung Palestin dengan air kumbahan.

Kami dimaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Israel pada 5 September tahun ini, menolak petisyen oleh penduduk Palestin dari kampung Khan al Ahmar dan membenarkan pihak berkuasa Israel untuk meneruskan dengan rancangan untuk merobohkannya. Bila-bila masa sahaja daripada sekarang, pihak berkuasa Israel boleh memulakan perobohan komuniti ini, termasuk sekolah dan menghalau penduduk daripada rumah mereka termasuk ramai kanak-kanak.

Kami juga dimaklumkan bahawa Khan al Ahmar adalah kampung Badwi Palestin, didiami oleh suku Jahalin, terletak dalam kawasan C Tebing Barat, antara penempatan Israel Ma’ale Adumim dan salah satu kawasan pinggir bandar elit KfarAdumim. Kawasan ini terletak dalam kawasan yang dipanggil E1 iaitu tanah yang ditetapkan oleh Israel bagi pembinaan penempatan haram yang memisahkan Baitulmuqadis Timur daripada Tebing Barat dan memisahkan Tebing Barat menjadi dua.

Penduduk Khan al Ahmar dipaksa keluar daripada kampung Tel Arad di padang pasir Negev pada 1951 dan mendiami tanah persendirian Palestin. Kemudiannya, Israel merampas secara haram tanah ini dan mengisytiharkannya sebagai tanah Negara pada 1975, dizonkan untuk zon perindustrian dan kemudiannya sebagai penempatan Ma’aleAdumim.

Penduduk komuniti ini mempunyai sumber pendapatan yang kini semakin sedikit, mengalami kekurangan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan kebajikan yang serius, dan hidup tanpa kemudahan infrastruktur asas seperti rangkaian elektrik, sistem kumbahan dan jalan yang sempurna.

SAM mengutuk dengan sekeras-kerasnya rancangan untuk merobohkan kampung Khan al Ahmar, memandangkan dasar penempatan Israel adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, sepertimana yang ditegaskan oleh Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016), dan tindakan yang diambil dalam konteks ini, termasuklah merobohkan komuniti Palestin dan menghalau penduduk secara paksaan.

Oleh itu, kami menggesa kerajaan Malaysia supaya segera:

  • Mengecam kemusnahan yang dilakukan di Khan al Ahmar dan dasar Israel mengenai rancangan dan menghalau secara sistematik penduduk dan menuntut pergantungan perjanjian kerjasama oleh kerajaan lain dengan Israel, kunjungan diplomatik dan bentuk lain ekonomi khas atau hubungan diplomatik sehingga Israel menghentikan dasar menghalau penduduk secara haram dan mencabuli undang-undang antarabangsa dan
  • Bekerja dengan sekutu di negara lain untuk menuntut siasatan bebas dan segera dalam kes Khan al Ahmar dan dasar memindahkan penduduk secara haram oleh Israel, termasuk penggunaan bahaya alam sekitar sebagai instrumen pemindahan dan termasuk saranan langkah yang konkrit dan berkesan bagi menegakkan tugas negara untuk memastikan dihormati oleh Israel berhubung kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.

SAM telah memaklumkan kepada Wisma Putra mengenai perkara ini dan mengharapkan kepimpinan Malaysia menyokong perjuangan penduduk Khan al Ahmar dan mengambil semua langkah untuk mengakhiri pencerobohan dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel dalam perkara ini.

 

Siaran Akhbar, 19 Oktober 2018