Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Perikanan Kedah menyiasat dan mengambil tindakan segera menghentikan penggunaan spot light berkuasa tinggi oleh nelayan-nelayan di Pulau Langkawi ketika menangkap sotong di perairan pulau tersebut.
Penggunaan alat ini boleh menyebabkan hidupan laut mengalami kepupusan sekali gus menjejaskan sumber bekalan makanan untuk pengguna dan menggugat sektor perikanan negara.
Spot light berkuasa antara 1,000 watt hingga 3,000 watt yang dipasang pada bot nelayan di sini bukan saja menarik perhatian sotong besar tetapi juga anak-anak sotong bersaiz kecil yang boleh membiak pada masa akan datang.
Jika anak-anak sotong atau benih sotong secara rakus ditangkap dan tidak dikawal pembiakannya ia mungkin pupus dalam masa dua puluh tahun lagi.
Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati ramai kalangan nelayan di Pulau Langkawi tidak bersetuju dan membantah penggunaan spot light berkuasa tinggi ini. Kami difahamkan bahawa masalah itu telah dikemukakan beberapa kali dalam mesyuarat persatuan nelayan tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.
Berikutan tidak ada perhatian serius oleh pihak tersebut masalah yang berlarutan sejak lebih lima tahun yang lalu ini menjadi semakin meruncing apabila bilangan nelayan yang menggunakan alat berkenaan semakin bertambah ramai.
Ada penjual alat tersebut menawarkan bayaran secara ansuran kepada mana-mana nelayan di Pulau Langkawi yang mahu membeli dan menggunakan alat itu untuk aktiviti tangkapan sotong di sini.
SAM bimbang dan kecewa dengan keadaan ini walau pun sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada berkesan yang diambil.
Sehubungan itu SAM meminta Jabatan Perikanan mengharamkan segera penggunaan spot light berkuasa tinggi ini bagi mencegah berlakunya kepupusan sumber yang boleh menjejaskan mata pencarian nelayan dan sumber makanan negara di masa depan.
Kenyataan Media, 29hb Januari 2015