Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat terkejut oleh hakikat bahawa harga runcit ayam meningkat kepada antara RM9 dan RM11 sekilogram pada minggu ketiga Jun. Ia meningkat antara RM1.50 hingga RM3.50 dalam tempoh seminggu.
Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bertindak segera kerana ayam adalah sumber penting daging putih yang murah.
Peruncit memberitahu pegawai penyelidikan kami bahawa peningkatan itu disumbang oleh kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pihak ladang ternakan yang menyembelih, membersih dan menghantar ayam kepada peruncit.
Kami menggesa KPDNHEP meneliti jika kenaikan harga itu mempunyai alasan yang kukuh. Pengguna juga mendapati saiz ketulan ayam di kedai makan mereka juga semakin kecil.
Jika pemprosesan ayam di ladang ternakan menjadi punca kepada kenaikan harga yang melambung tinggi, maka kerajaan perlu menerima pakai saranan kami pada Mac lalu agar pasar dibenarkan menyembelih ayam. Menjual ayam bersih dari ‘kilang’ tidak memenuhi kepentingan pengguna, lebih-lebih lagi pada harga yang tidak masuk akal.
Kenyataan Akhbar, 20 Jun 2020