Sementara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kesulitan dan kekangan kewangan kepada sebahagian besar pengguna, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut kerana sebilangan peruncit menjual barang mereka jauh daripada harga biasa.
Sebuah laporan mendakwa bahawa bawang India dijual pada harga 53.85 peratus melebihi harga biasa RM6.50 sekilogram di pasar basah dan kedai runcit di Pulau Pinang .
Harga sayur-sayuran lain juga terjejas. Sebelum ini terdapat laporan mengenai sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibuang kerana gangguan rantaian bekalan petani ke pasar dan oleh itu, berlaku lebihan bekalan. Lebih-lebih lagi, dengan PKP, kurang orang keluar ke pasar dan dengan itu permintaan menurun secara drastik tetapi keadaan ini bukanlah justifikasi untuk lonjakan harga secara drastik.
Kami menggesa kerajaan untuk memantau harga makanan dan juga memastikan bahawa rantai bekalan makanan tidak terganggu.
Kami juga bimbang dengan keadaan bekalan makanan di Malaysia kerana sebuah laporan menyatakan bahawa Malaysia bergantung pada 30 hingga 40 peratus makanan yang diimport untuk memenuhi keperluan tempatannya. Ini boleh menjadi situasi berbahaya pada masa sekarang dan CAP telah memberi amaran mengenainya seawal bulan Ogos 2018.
“Pada tahun 2012, saintis pertanian Mohd Peter Davis memberi amaran bahawa Malaysia akan menghadapi risiko kelaparan jika mengalami krisis ekonomi yang besar. Tidak seperti negara pengeluar makanan seperti Thailand dan Vietnam, kita tidak mempunyai pengeluaran makanan yang berkesinambungan. Pada masa-masa terdesak, negara-negara pengeksport makanan ini dapat memberi makan penduduknya yang lapar terlebih dahulu sebelum menjual makanan ke negara lain seperti negara kita. ”
Kami menggesa kerajaan untuk memperkenalkan dasar pertanian yang komprehensif untuk memastikan jaminan bekalan makanan di negara ini selepas pengalaman buruk pandemik COVID-19 ini berakhir. Ia adalah pelajaran pahit bagi kita semua.
Sementara itu, kerajaan perlu turun padang dan memeriksa harga makanan pada waktu seperti ini kerana ini adalah masanya pihak tidak bertanggunjawab mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ketika PKP.
Kenyataan Media, 16 April 2020