Malaysian Coalition Against Nuclear (MyCAN), suatu gabungan menentang tenaga nuklear di Malaysia, terkejut bahawa Kerajaan Malaysia bertekad untuk maju ke arah tenaga nuklear dengan siapnya misi Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (Integrated Nuclear Infrastructure Review – INIR) untuk Fasa 1 ‘kesediaan’ yang telah dijalankan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency – IAEA) pada Oktober lepas.
Apabila menerima laporan akhir misi daripada IAEA pada 8 Mac, di sampingan acara Persidangan Tahunan ke-lapan Nuclear Power Asia, yang diadakan di Kuala Lumpur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah ‘bersedia sepenuhnya’ untuk membuat keputusan tentang penggunaan penjanaan kuasa nuklear.
Datuk Seri Nancy telah menyatakan bahawa laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin untuk membuat keputusan kerana Malaysia mempunyai 30 hari untuk memberi maklum balas kepada cadangan tersebut.
Memandangkan perkembangan terbaru ini, MyCAN menyeru kerajaan, demi kepentingan ketelusan, untuk melakukan perkara yang berikut:
- Mendedahkan keputusan Kabinet
- Mencontohi negara-negara lain yang telah memaparkan laporan misi INIR di laman web IAEA
- Mendedahkan kepada awam Rancangan Pembangunan Infrastruktur Kuasa Nuklear
- Mendedahkan hasil rundingan awam
- Mengumumkan perkembangan status Rang Undang-undang Kawal Selia Tenaga Atom
- Mendedahkan perbelanjaan setakat ini untuk menjalankan aktiviti yang tertera dalam perkara 3, 4 dan 5 serta Fasa 1 misi INIR
Kami amat bimbang bahawa dengan siapnya Fasa 1 misi INIR IAEA yang membuka jalan untuk memulakan Fasa 2 misi iaitu ‘Kerja-kerja persediaan untuk pemberian kontrak dan pembinaan loji tenaga nuklear selepas keputusan dasar telah diambil’, Kerajaan akan memburukkan lagi keadaan kewangan dan ekonomi yang bermasalah di negara ini.
Menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016, jumlah hutang luaran Malaysia meningkat sebanyak 9% kepada RM908.7bil, bersamaan dengan 73.9% daripada keluaran dalam negara kasar negara. Walau bagaimanapun, ia adalah tidak jelas sama ada angka terbaru ini telah melepasi had perlindungan diri untuk hutang kerajaan sebanyak 55%.
Walau bagaimanapun, ia telah didokumenkan bahawa projek penjanaan kuasa nuklear hampir selalu melebihi unjuran kos permulaan. Tambahan pula, berdasarkan anggaran kos RM21.3bil bagi kedua-dua reaktor yang ditetapkan dalam Projek Penggerak Ekonomi dalam Program Transformasi Ekonomi sejak tahun 2010 dan ditambah pula dengan kelemahan ringgit, adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa kos akan meningkat dengan pesat.
November lalu, Vietnam telah mengambil keputusan yang bijak untuk meninggalkan pelan tenaga nuklear walaupun telah membelanjakan berjuta-juta untuk persediaan selepas mengakui bahawa anggaran kos telah mencapai dua kali ganda. Indonesia juga telah menangguhkan rancangan untuk pembangunan tenaga nuklear.
Kami menyeru kepada Kerajaan Malaysia untuk mengambil iktibar daripada perkembangan di rantau ini dan memberi tumpuan semula sumbernya ke arah membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui yang kini kurang berkembang. Kerajaan Malaysia perlu hentikan misi INIR yang selanjutnya.
Proses INIR
Dijalankan atas jemputan Malaysia yang merupakan negara anggota IAEA, misi 8 hari yang kononnya dilaksanakan adalah berdasarkan kepada laporan penilaian kendiri terperinci oleh Kerajaan Malaysia dan mengkaji kesediaan negara dalam 19 isu-isu infrastruktur mengikut pendekatan pencapaian (milestones) IAEA, yang terdiri daripada tiga fasa dan tiga pencapaian.
[Untuk maklumat lanjut, layari http://www-pub.iaea.org/books/IAEABooks/10873/Milestones-in-the-Development-of-a-National-Infrastructure-for-Nuclear-Power]
Fasa 1 daripada tiga fasa misi INIR berkaitan dengan ‘Pertimbangan sebelum keputusan untuk melancarkan program kuasa nuklear diambil’. Malaysia kini dianggap telah mencapai pencapaian pertama – ‘Bersedia untuk membuat komitmen berpengetahuan untuk program tenaga nuklear’. Dilihat daripada tingkah laku Kerajaan setakat ini, ia adalah logik untuk mempercayai bahawa ianya berkemungkinan besar akan membuat keputusan untuk maju ke fasa seterusnya.
Sembilan belas (19) isu-isu infrastruktur (kedua-dua keras dan lembut) yang kononnya dinilai adalah: kedudukan negara; keselamatan nuklear; pengurusan; pendanaan dan pembiayaan; rangka kerja undang-undang; perlindungan; rangka kerja kawal selia; perlindungan radiasi; grid elektrik; pembangunan sumber manusia; penglibatan pihak berkepentingan; tapak dan kemudahan sokongan; perlindungan alam sekitar; perancangan kecemasan; keselamatan nuklear; kitaran bahan api nuklear; pengurusan sisa radioaktif; penglibatan industri dan perolehan.
Perkara yang menarik ialah Datuk Seri Nancy berkata bahawa salah satu daripada lima cadangan oleh laporan tersebut untuk kemajuan seterusnya ialah ‘meningkatkan kesedaran orang ramai‘.
Keyakinan tinggi terhadap kesediaan kerajaan ini mendustakan hakikat bahawa sekurang-kurangnya satu daripada 19 isu-isu infrastruktur telah gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh penggerak tenaga nuklear. Penglibatan pihak berkepentingan adalah tidak ‘terbuka, telus atau tepat pada masanya‘ seperti yang ditetapkan dalam pendekatan pencapaian oleh IAEA.
Oleh itu, MyCAN berpendapat bahawa misi INIR perlu dianggap sebagai satu strategi kerajaan untuk mendapatkan pengesahan antarabangsa untuk menentang bantahan yang semakin meningkat dari rakyatnya.
Sejak pengumuman untuk membina dua unit reaktor 1,000MW pada tahun 2010, penyokong nuklear telah cuba tetapi sia-sia untuk memenangi hati orang ramai dengan “program kesedaran awam”.
Rancangan pada mulanya adalah untuk mempunyai reaktor pertama beroperasi menjelang tahun 2021, tetapi rancangan itu kini ditunda ke tahun 2030. Adalah dipercayai bahawa kesangsian awam terhadap teknologi berbahaya ini memuncak selepas krisis reaktor nuklear Fukushima Daichi pada Mac 2011 serta penyebaran dan pencemaran radiasi selanjutnya. Tragedi ini telah menghentikan momentum penggerak nuklear yang menunggu krisis untuk reda.
Walau bagaimanapun, krisis ini tidak berhenti-henti. Sebaliknya ia menjadi lebih serius. Enam tahun selepas bencana nuklear yang mungkin lebih dahsyat daripada krisis Chernobyl, loji nuklear Fukushima yang kini lumpuh telah menjadi bukti hidup untuk malapetaka yang boleh berlaku dengan loji tenaga nuklear.
[http://insider.foxnews.com/2017/02/08/unimaginable-levels-radiation-fukushima-pacific-ocean-leaks]
MyCAN kesal bahawa Kerajaan Malaysia tidak mempedulikan rayuan rakyatnya untuk menghentikan rancangan tenaga nuklear yang mahal, berbahaya serta mencemar dan sebaliknya menumpukan perhatian ke atas sumber tenaga yang benar-benar mampan.
Kami amat kecewa dengan pihak-pihak yang tidak peduli tentang implikasi keputusan mereka kepada rakyat terutamanya generasi masa depan yang akan menanggung akibat risiko radiasi, beban kewangan, keselamatan tenaga dan isu pelupusan sisa radioaktif yang masih belum diselesaikan.
Oleh itu, sempena Hari Bumi pada 22 April, MyCAN akan melancarkan semula kempen untuk mengemukakan petisyen kepada Kerajaan Malaysia agar tidak meneruskan rancangan tenaga nuklear yang pastinya membawa bencana.
Petisyen dalam talian boleh ditandatangani pada http://www.thepetitionsite.com/300/019/434/stop-nuclear-power-plants-in-malaysia/
dan salinan petisyen boleh dimuat turun dari pautan di halaman facebook https://goo.gl/5YMS0X.
MyCAN terdiri daripada gabungan:
- Anak Malaysia Anti-Nuklear (AMAN)
- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
- Malaysian Physicians for Peace and Social Responsibility
- Malaysian Youth Delegation (MYD)
- Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
- Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
- PowerShift Malaysia
- Sahabat Alam Malaysia (SAM)
- Third World Network (TWN)
- Treat Every Environment Special (TrEES)
Kenyataan Media/Surat Kepada Pengarang, 21 April 2017