Jalan Bawah Mount Erskine BUKAN Pilihan Terbaik

Kenyataan ini adalah maklum balas kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mendakwa bahawa jalan bawah (underpass) Mount Erskine adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah lalu lintas seperti yang dilaporkan di dalam The Star, 8 November 2019.

Kami mengemukakan lima alasan kenapa ia bukan pilihan terbaik tetapi ia membazirkan wang pembayar cukai dan perlu dibatalkan.

1. Projek ini bukan keutamaan memandangkan pergerakan lalu lintas di persimpangan ini masih baik pada setiap masa, kecuali ketika waktu puncak pada waktu pagi. Malah masa menunggu untuk ke Jalan Burma ialah kurang daripada 10 minit.

2. Projek ini akan mewujudkan masalah lalu lintas yang amat besar sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun atau lebih (ketika tempoh pembinaan) memandangkan semua penduduk di bahagian utara hanya mempunyai satu jalan – Jalan Tanjong Tokong – untuk bergerak ke bandar dan kembali semula. Sudahkah Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambilkira mengenai perkara ini? Adakah pihak Majlis telah melakukan kajian simulasi lalu lintas yang lengkap berhubung masalah ini? Jika sudah berbuat demikian, bolehlah didedahkan kepada orang ramai.

3. Mengandaikan pergerakan lalu lintas lancar di Jalan Gottlieb melalui jalan bawah, adakah lalu lintas tidak akan berdepan kesesakan sekali lagi apabila kenderaan muncul dari jalan bawah ke Jalan Burma dan Pulau Tikus? Kenapa membelanjakan RM55 juta hanya untuk menggerakkan kesesakan lalu lintas 1 km di jalan?

4.  Kos projek ini telah menjadi lebih dua kali ganda kepada RM55 juta dan kemungkinan meningkat lebih tinggi akibat pampasan pengambilan tanah kepada kira-kira 20 pemilik tanah yang akan menerima lebih RM20 juta. Kenapa membayar berjuta ringgit yang dibiayai semua pembayar cukai di Pulau Pinang bagi projek yang tidak rasional memandangkan wujud penyelesaian mudah dengan kos yang lebih berkesan yang tidak akan memusnahkan persekitaran komuniti?

5. Pihak Majlis dijangka mengumpulkan RM54 juta daripada peningkatan kadar taksiran yang dicadangkan. Dengan membatalkan projek ini pihak Majlis boleh menjimatkan RM55 juta dan mengurangkan peningkatan kadar taksiran yang dicadangkan untuk manfaat semua pembayar cukai.

Pihak Majlis tidak seharusnya membazirkan wang pembayar cukai ke atas penyelesaian yang buruk bagi kesesakan lalu lintas.

Apa yang diperlukan ialah pengurusan sistem lampu isyarat yang lebih baik dan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kesesakan yang disebabkan ketika waktu persekolahan yang tidak memerlukan pembiayaan.

 

Kenyataan Akhbar, 12 November 2019