Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak mengkaji semula rancangan pembinaan kilang kelapa sawit di Sungai Ranggam dekat Pasir Salak di sini kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.
Pembinaan kilang tersebut bukan saja berdekatan dengan kawasan perumahan yang didiami oleh lebih 4,000 penduduk tetapi juga tidak jauh dari sungai yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki.
Baru-baru ini penduduk-penduduk dari Kampung Sungai Ranggam dan Kota Setia yang bimbang berlakunya pencemaran alam sekitar jika kilang kelapa sawit dibina di kawasan ini telah mengadakan bantahan secara aman berhubung rancangan pembinaan kilang tersebut.
Mereka mendakwa kilang ini boleh menimbulkan masalah bau busuk dan mencemarkan air Sungai Ranggam serta mengancam hidupan didalamnya di samping menjejaskan mata pencarian nelayan kecil di tempat itu.
CAP meminta kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia melibatkan alam sekitar dan kesejahteraan hidup penduduk kampung yang terlibat. Kajian terperinci mengenai kesan ke atas alam sekitar dan pandangan serta pendapat penduduk tempatan amat perlu sebelum rancangan pembinaan kilang ini dibuat.
Sebelum ini CAP banyak menerima aduan dari orang awam mengenai masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca dari operasi kilang kelapa sawit di negara ini. Kerana itu CAP turut merasa bimbang jika masalah serupa berlaku dan dihadapi oleh penduduk-penduduk di sini pada masa akan datang.
Justeru CAP berharap kerajaan negeri Perak, jabatan serta agensi berkaitan menjalankan siasatan dengan segera mengenai isu ini dan jika terbukti ia boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk tempatan maka rancangan pembinaan kilang kelapa sawit di sini wajar dibatalkan.
Kenyataan Media, 26hb Oktober 2015