Sahabat Malaysia Malaysia (SAM) mengalu-alukan dan menyokong cadangan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memperkenalkan pendidikan alam sekitar di sekolah.
SAM mempercayai pendidik hari ini wajar menggalakkan literasi alam sekitar di sekolah termasuk di tahap pra-sekolah. Menurut Program Pendidikan Alam Sekitar Antarabangsa UNESCO-UNEP, seseorang yang celik alam sekitar ialah seorang yang mampu memahami, membuat keputusan yang wajar dan bertindak mengikut kepentingan alam sekitar; bekerja secara individual dan kolektif untuk memperoleh keseimbangan antara kualiti kehidupan dan kualiti alam sekitar.
Di Malaysia, pendidikan alam sekitar di sekolah sering diketepikan. Oleh itu, kurikulum holistik yang baru harus diwujudkan untuk memperoleh literasi alam sekitar. Di samping sukatan pelajaran semasa di sekolah yang hanya mempunyai beberapa unsur pendidikan alam sekitar yang diselitkan bersama dengan beberapa subjek dan kelab-kelab pencinta alam di sekolah, SAM menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Pelajaran agar melaksanakan akitiviti yang melibatkan penyertaan aktif (“hands-on”) para pelajar, bukan hanya teori semata-mata.
Penglibatan aktif para pelajar ini harus bertumpu kepada aktiviti atau pendedahan di luar bilik darjah untuk menggalakkan kesedaran dan tindakan kepada alam sekitar. Antaranya adalah berkebun, berladang, pemantauan sungai, mempelajari tentang tumbuhan dan hutan yang mampu memberikan pemahaman yang mendalam serta kesedaran holistik akan kepentingan alam sekitar serta hubungan kita dengannya.
Usaha-usaha ini bukan sahaja menggalakkan perasaaan penghargaan dan tanggungjawab, malah boleh memperkasa para pelajar untuk berubah ke arah gaya hidup yang lebih mampan. Usaha ini juga akan membolehkan para pelajar berfikir secara kritikal dan lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran mereka.
Pendidikan alam sekitar juga haruslah mengutarakan nilai-nilai seperti penggunaan mampan, pembangunan lestari dan perlindungan sumber alam dalam diri individu dan komuniti. Ilmu yang telah diperoleh haruslah diterjemahkan dalam tingkah laku yang menyayangi alam sekitar, berusaha untuk melindunginya dan memelihara kekayaannya.
SAM juga amat berbesar hati untuk memberi bantuan kepada pihak Kementerian untuk menyediakan kurikulum ini. Para pelajar haruslah memahami tentang kepentingan kita sebagai warga global yang hidup di dalam alam sekitar yang global; setiap jejak yang kita tinggalkan mempunyai impak yang negatif kepada setiap individu.
Oleh itu, pendidikan alam sekitar adalah langkah untuk mencapai literasi alam sekitar yang mengesyorkan membuat keputusan dan mengambil langkah yang positif; semuanya ke arah alam sekitar yang lebih bersih, hijau dan sihat.
Surat kepada Pengarang, 23 Februari 2017