Memandangkan pemimpin dunia akan bersidang di Brazil tidak lama lagi untuk COP30, laporan baharu daripada Forests & Finance Coalition mendedahkan bahawa kewangan untuk sektor yang mendorong penebangan hutan tropika telah meningkat sejak Perjanjian Paris. Bank-bank global telah mencurahkan USD 72 bilion ke dalam sektor berisiko hutan sepanjang 18 bulan lalu, manakala pelabur memegang USD 42 bilion dalam bon dan saham
Bertajuk Banking on Biodiversity Collapse 2025: After Ten Years of Paper Promises, It’s Time to Regulate Finance, laporan ini dilancarkan hari ini di acara Prinsip bagi Pelaburan Bertanggungjawab (PRI) di São Paulo. Ia menyediakan kemas kini penting mengenai arah alir pelaburan global dalam komoditi berisiko hutan, seperti minyak sawit, soya, daging lembu, dan pulpa dan kertas.
Penemuan itu menunjukkan bahawa separuh daripada 30 bank terbaik dunia telah meningkatkan pendedahan mereka kepada sektor berkaitan penebangan hutan sejak 2016.
Penemuan utama itu termasuklah:
● Sejak 2016, bank-bank telah menyediakan kredit sebanyak USD 429 bilion kepada syarikat komoditi berisiko hutan, peningkatan sebanyak 35 peratus.
● Pelabur memegang saham dan bon sebanyak USD 42 bilion merentasi 191 syarikat berisiko hutan yang didahului oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) (USD 3.8 bilion), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (USD 3.5 bilion) dan Vanguard (USD 3.4 bilion).
● Lima pusat kewangan menguasai pembiayaan ini: Amerika Syarikat, Malaysia, Brazil, Jepun dan United Kingdom.
● Sesetengah bank telah meningkatkan pinjaman berisiko hutan mereka dengan pesat termasuk Scotiabank (+717%) dan Banco do Nordeste do Brasil (+295%).
Data menunjukkan bahawa pelabur institusi Malaysia (PNB, KWSP, dan Kumpulan Wang Persaraan KWAP) adalah antara pelabur paling ketara dalam sektor komoditi berisiko hutan. Walaupun pembiayaan dan pelaburan besar Malaysia dalam sektor berisiko hutan berkait rapat dengan model pembangunan ekonominya yang lebih luas, ia juga menekankan kepentingan kritikal institusi kewangan Malaysia untuk menerima pakai dan melaksanakan dasar pelaburan dan pembiayaan yang kukuh dan bertanggungjawab untuk melindungi sumber hutan negara dan hak masyarakat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak institusi kewangan Malaysia telah mula memperkenalkan dasar pelaburan dan pinjaman yang bertanggungjawab, termasuk komitmen kepada ESG dan rangka kerja Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Gambut, Tanpa Eksploitasi (NDPE).
Walaupun ini amat menggalakkan, ia masih belum menggambarkan kesegeraan yang perlu kita tangani isu-isu itu. Laporan ini mendapati bahawa walaupun sudah sedekad ikrar sifar bersih dan janji kemampanan, pendekatan sukarela ini telah gagal. Kebimbangan dan masalah peraturan kendiri atau pendekatan sukarela didokumentasikan secara meluas.
Satu pesanan utama daripada laporan global itu ialah momentum yang semakin meningkat dalam kalangan pergerakan masyarakat sivil untuk menggesa supaya mengawal selia kewangan bagi menangani penebangan hutan dan pelanggaran hak asasi manusia.
Gabungan itu menggesa kerajaan untuk menutup “jurang akauntabiliti” dengan menjadikan biodiversiti dan perlindungan hak asasi manusia teras kepada peraturan kewangan. Saranannya termasuklah, usaha wajar mandatori terhadap risiko penebangan hutan, penalti modal bagi pinjaman berisiko tinggi, pendedahan portfolio yang telus dan liabiliti undang-undang bagi kemudaratan alam sekitar dan sosial.
Laporan itu menyimpulkan “Dekad pengawalan kendiri ini telah menjadi pilihan politik dan bukan kegagalan teknikal.” “Jika kita ingin menyampaikan Perjanjian Paris dan Rangka Kerja Biodiversiti Global, kerajaan mestilah beralih daripada janji di atas kertas kepada peraturan yang boleh dikuatkuasakan.”
Meenakshi Raman
Presiden SAM
Bagi pihak Forest & Finance Coalition
Surat Kepada Pengarang, 5 November 2025
___________________________________________________________________________________________________________________
Mengenai Forests & Finance Coalition
Inisiatif Forests & Finance ialah gabungan pertubuhan yang berkempen dan penyelidikan termasuk Rainforest Action Network, TuK Indonesia, Profundo, Amazon Watch, Milieudefensie, CED Cameroon, Repórter Brasil, Observatório da Mineração, BankTrack, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Friends of the Earth US. Gabungan itu menjejaki aliran kewangan ke sektor berisiko hutan dan menyokong peraturan kewangan yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan untuk melindungi hutan, biodiversiti dan hak Orang Asal.


