Lindungi belia dari manipulasi industri dan halang mereka daripada menggunakan tembakau dan nikotina

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang jatuh pada  31hb Mei, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama-sama komuniti penyokong kesihatan awam menggesa kerajaan Malaysia  agar melindungi golongan belia daripada dimanipulasi oleh industri tembakau.

Agenda tersembunyi industri adalah untuk menarik minat belia kerana apabila seseorang itu menjadi ketagih kepada nikotina, ia akan berasa sukar untuk berhenti mengambilnya. Di dalam Laporan Khas Philip Morris pada 1981 ada disebut “Belia pada hari ini bakal menjadi pelanggan tetap pada masa depan, dan majoriti perokok mula merokok ketika usia belasan tahun … ketika dalam usia remaja inilah pilihan awal jenama dibuat.”

Kini terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia dan industri tembakau perlu menggantikan 20,000 perokok – iaitu pelanggan setianya – yang meninggal setiap tahun akibat lebih 30 penyakit yang dikaitkan dengan merokok. Malaysia mempunyai kira-kira 10 peratus perokok di bawah usia 19 tahun.

Oleh kerana kerajaan terpaksa melaksanakan garis panduan Konvensyen Kerangkakerja bagi Kawalan Tembakau (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana Malaysia menjadi  ahlinya, pihak industri telah mengubahsuai strategi pendekatan pemasarannya. Ia giat mempromosikan rokok elektroniknya (e-rokok) dan vape sebagai “alternatif yang selamat” kepada merokok.

Jika kerajaan membenarkan penjualan e-rokok dan vape, maka ia akan mendedahkan masalah sama seperti rokok yang dihadapi dalam beberapa dekad lepas, iaitu ketagihan kepada nikotina dan kebimbangan mengenai kesan buruknya terhadap kesihatan seperti emfisema dan bronkiolitis obliteratif (paru-paru ‘popcorn’).

Ketika CAP membuat tinjauan pada 2019, CAP terkejut mendapati kanak-kanak sekolah menghisap vape malah terlibat dalam menjual isian semula (refill) e-cecair bagi alatan e-rokok. Pada penghujung 2019, terdapat  kira-kira 7,000 perasa e-rokok di pasaran. Kepelbagaian perasa yang tersedia itu adalah untuk memikat pembeli dan menjadikannya satu tabiat atau ketagih kepada nikotina.

Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan supaya memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau bagi menggantikan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang tertakluk di bawah Akta Makanan 1983. Tanpa pengekangan dalam industri, adalah mustahil untuk mengurangkan RM7.4 bilion yang diperlukan oleh kerajaan untuk merawat penyakit utama yang dikaitkan dengan tabiat merokok menjelang 2025.

Bagi golongan belia, sebaiknya mereka membelanjakan wang saku dengan membeli makanan yang berkhasiat dan barangan keperluan lain, bukannya membeli rokok atau e-rokok kerana pada ketika inilah nutrisi yang teratur amat penting untuk tumbesaran mereka. Menteri Pelajaran boleh menimbangkan untuk menjadikan isu kawalan tembakau sebagai sebahagian daripada silibus pendidikan.

Kita tidak boleh mempercayai industri apabila ia berkata, “Matlamat kita ialah untuk memberikan kesedaran mengenai alternatif yang lebih baik bagi rokok, dan bagi perokok dalam usia yang dibenarkan, yang sebaliknya akan terus merokok, untuk membuat pilihan yang betul bagi diri mereka sendiri dan masyarakat”. Seorang eksekutif Philip Morris berkata pada 1995, “Jika kita boleh merangka peraturan yang proaktif atau mengambil lain-lain tindakan mengenai isu Akses Belia … kita akan melindungi industri kita dalam berdekad akan datang”. Strategi tersebut masih dikejar oleh pihak industri.

 

Kenyataan Akhbar, 30 Mei 2020