Masalah Pencerobohan Bot Pukat Tunda Dan Aktiviti Bot Pukat Kenka
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mempergiatkan operasi membanteras pencerobohan bot pukat tunda dan aktiviti bot kenka di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Pinang.
Gesaan ini dibuat berikutan aduan oleh nelayan-nelayan pantai negeri tersebut kepada SAM bahawa masalah itu semakin serius berlaku menyebabkan sumber pendapatan mereka teruk terjejas. Bot pukat tunda yang terlibat ialah dari Teluk Bahang dan Batu Maung, manakala bot kenka pula dari Kuala Muda, Bakau Tua dan Penaga daerah Seberang Perai Utara (SPU)
Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati lebih 2,000 nelayan pantai di 10 pengkalan iaitu Pulau Betong, Kuala Jalan Baru, Pantai Malindo, Kuala Sungai Pinang, Teluk Bahang, Teluk Kumbar, Telok Tempoyak, Batu Maung, Permatang Damar Laut dan Sungai Batu mengalami kesempitan hidup kerana masalah ini.
SAM difahamkan bot pukat tunda dan bot pukat kenka sering menjalankan aktiviti mereka pada waktu malam di kawasan antara 1 batu hingga 5 batu nautika dari pantai. Bot-bot ini bukan saja memerangkap dan membunuh anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi seperti bawal, jenahak, pari, senangin malah merosakkan batu karang dan jaring nelayan pantai di sini.
Ikan serta udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di negeri ini telah berkurangan dan diancam kepupusan. Jika masalah pencerobohan bot pukat tunda dan aktiviti bot pukat kenka ini tidak berlaku mereka memperolehi lebih RM100.00 sehari tetapi sekarang merosot hingga RM10.00 atau RM20.00 saja sehari.
SAM merasa kesal walau pun nelayan-nelayan pantai di negeri ini telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil. SAM bimbang jika keadaan ini berterusan ia boleh menggugat sektor perikanan dan ekonomi negara pada masa akan datang.
Berdasarkan pengalaman SAM bersama nelayan pantai mengenai kesan buruk penggunaan pukat tunda dan kenka ke atas kehidupan mereka dan hidupan laut serta penguatkuasaan undang-undang yang lemah sejak berpuluh tahun yang lalu, SAM berharap kerajaan mengharamkan segera penggunaan peralatan ini demi sumber bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat negara ini pada masa akan datang.
Kenyataan Media, 24 Januari 2019