Pencemaran Najis Babi Di Tasek Gelugor Semakin Serius – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa kesal berhubung kejadian pencemaran najis babi di Kampung Selamat Tasek Gelugor daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini yang semakin serius berlaku sekarang.

Masalah yang sudah berlarutan sejak 40 tahun yang lalu itu bukan saja mencemarkan air Sungai Kereh di sini malah menimbulkan bau busuk dan mengancam lebih 2,000 penduduk serta 400 pesawah di kawasan berkenaan.

Antara kampung-kampung yang terlibat dengan masalah ini ialah Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar,Kampung Permatang Berangan, Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati pengusaha ternakan babi di tempat itu telah mengalirkan sisa buangan najis ternakan mereka ke dalam sungai di kawasan tersebut menyebabkan airnya menjadi hitam pekat dan berbau busuk.

Keadaan itu teruk berlaku pada waktu malam dan ketika hujan di mana lebih banyak sisa najis babi dilepaskan oleh pengusaha terbabit ke dalam sungai di sini. Masalah ini telah menyebabkan sumber bekalan air untuk tanaman padi yang diusahakan oleh para pesawah di lima buah kampung terbabit tercemar dan mengalami kerosakan.

Seorang pesawah yang terlibat Haji Rahim Haji Daud, 72 berkata, mereka mengalami gatal-gatal kulit bila terkena air yang tercemar itu. Beliau memberitahu, para pesawah di sini telah mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat kerosakan tanaman padi dan kekurangan hasil  berikutan ancaman pencemaran najis babi tersebut.

CAP bimbang dengan masalah ini dan jika dibiarkan bukan saja alam sekitar di kawasan berkenaan akan tercemar dengan lebih buruk lagi malah berbagai penyakit berbahaya mungkin di hadapi oleh penduduk-penduduk di sini pada masa akan datang.

Justeru CAP berharap kerajaan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini. Manakala Jabatan Kesihatan perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak ada sebarang penyakit berpunca dari pencemaran ini berlaku di kawasan itu.

 

Kenyataan Media, 16 April 2019