Penglibatan Polis Dalam Melindungi Hidupan Liar Amat Diperlukan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memuji tindakan Ketua Polis Negara (IGP), Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang menunjukkan sifat menjaga dan tanggungjawab bagi melindungi hidupan liar negara kita. Beliau membuat kenyataan yang amat positif bagi memerangi penyeludupan dan pemerdagangan dengan menggerakkan unit udara, laut dan darat bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar membanteras jenayah hidupan liar di darat, laut dan udara.

Jaminan daripada IGP bahawa undang-undang yang lebih keras dan tindakan serta langkah yang lebih drastik untuk memastikan pemburu haram dibawa ke muka pengadilan di bawah undang-undang Malaysia amat dialu-alukan. Perdagangan haram antarabangsa hidupan liar dan produk hidupan liar telah mencapai ke tahap krisis. Ia menjadi ancaman kepada kewujudan spesies ikonik dan menjadi penyebab kepada kepupusan hidupan liar.

Ancaman penyeludupan hidupan liar yang semakin berkembang memerlukan seruan untuk tindakan dan semakin diakui oleh kerajaan, pertubuhan pemuliharaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang. Oleh sebab itu terdapat keperluan segera bagi mengambil kesempatan terhadap konsensus ini dan bergerak ke arah daripada hanya mengakui masalah kepada mengenal pasti strategi dan pendekatan yang boleh mencegah perdagangan ini dengan berjaya.

Tanpa tindakan serius Gajah Pygmy Borneo, yang semakin kecil bilangannya, sudah pun berada dalam keadaan kritikal dan mengalami nasib yang sama seperti Badak Sumatra. Banteng juga berada dalam bahaya, bilangannya juga kurang daripada 500. Begitu juga dengan Beruang Matahari, Tenggiling dan Clouded Leopards juga dibimbangi akan pupus dan dilupakan. Pada masa ini pemburu haram mensasarkan Helmeted Hornbill, yang amat terancam, untuk mahkota merahnya yang terkenal dan amat dihargai pengumpul.

Tidak kira peningkatan tumpuan terhadap memerangi jenayah hidupan liar – hukuman yang lebih keras dan kemampuan penguatkuasaan hidupan liar yang bertambah baik – bilangan pemburu haram terus meningkat. Mengapa demikian?

Ini kerana ketiadaan penangkapan individu peringkat tinggi yang berkaitan dengan rampasan ini. Tangkapan yang dibuat sering tertumpu kepada pembawa dan penyeludup – ini tidak banyak mencegah perdagangan. Meskipun beberapa pelaku – biasanya pembawa – ditangkap dan dihukum, mereka hanya memainkan peranan kecil dalam tingkat kekuasaan rangkaian jenayah. Rampasan dengan ketiadaan tangkapan kurang mampu menangani jenayah hidupan liar transnasional atau menghentikan pembunuhan spesies terancam dunia.

Tidak banyak yang dilakukan untuk menyiasat pengubahan wang haram berkaitan dengan jenayah ini. Amat penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menangani aspek pengubahan wang haram bagi jenayah terancang transnasional ini.

Rasuah merupakan penyedia utama bagi semua jenis jenayah terancang transnasional. Keuntungan yang amat tinggi serta risiko yang rendah dan peluang ganjaran yang tinggi bagi penyeludup membolehkan mereka merasuah pegawai awam yang memperolehi gaji yang rendah.

Pelaku jenayah daripada sektor jenayah lain tertarik kepada jenayah alam sekitar disebabkan oleh kombinasi keuntungan yang tinggi dan kemungkinan ditangkap dan dihukum amat rendah. Ini berlaku terutamanya dalam aktiviti transnasional di mana penguatkuasaan lemah pada masa lalu.Kerajaan perlu bertindak segera dalam menangani pemburuan haram. Ia mungkin terlambat bagi Badak Sumatra tetapi tindakan ini dapat menyelamatkan bilangan spesies terancam lain yang semakin merosot.Pemburuan haram boleh dicegah jika semua orang sanggup untuk turut sama mengambil tindakan. Kini tiba masanya untuk berubah bagi menangani masalah ini. Peningkatan penglibatan PDRM akan dapat menangani isu pemburuan dan kurangnya tangkapan daripada rampasan utama yang dibuat oleh Kastam.

Menangani cabaran hidupan liar memerlukan kombinasi kepakaran yang berbeza dan kerjasama dalam kalangan pelbagai agensi penguatkuasaan, dengan pelbagai pendekatan untuk melindungi habitat asal dan hidupan liar. Untuk berjaya, ini memerlukan gabungan usaha bersama bagi menimbulkan kesedaran dan mencabar pola pemikiran tradisional.

Surat Kepada Pengarang, 18 September 2019