Penumpang Feri Perlu Menjaga Diri Daripada Covid-19

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati pengguna feri Pulau Pinang tidak menjaga diri mereka dengan sewajarnya daripada Covid-19 ketika berada di terminal feri. Apabila pintu pagar feri dibuka bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar feri kebanyakan penumpang berebut-rebut ke pagar feri.

Tingkah laku seperti ini amat berbahaya kerana apabila semua penumpang feri berebut-rebut ke pagar feri mereka akan berkumpul dalam satu kumpulan dan tiada lagi penjarakkan sosial. Dengan ini akan meningkatkan peluang bagi seseorang yang dijangkiti dengan Covid-19 tetapi tidak bergejala akan menyebarkan penyakit itu kepada orang lain.

Feri merupakan satu bentuk pengangkutan awam yang sering dipenuhi penumpang kerana ramai orang bergerak dari tanah besar ke bahagian pulau begitu jugalah sebaliknya. Memandangkan semakin ramai yang meninggalkan rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan kembali bekerja maka penumpang feri semakin meningkat menjadi seperti biasa. Tambahan lagi, Hari Raya Aidil Fitri akan dirayakan pada hujung minggu ini. Memandangkan kerajaan tidak mengharamkan kunjungan dan perjalanan daripada tanah besar ke bahagian pulau dan begitu juga sebaliknya, kita juga dapat menjangkakan peningkatan yang ramai bagi penumpang feri.

Sebagai langkah untuk menghentikan peningkatan Covid-19 dan potensi gelombang kedua daripada berlaku di Malaysia, semua penumpang feri tidak hanya di Pulau Pinang perlu beratur dan menjaga penjarakkan sosial untuk masuk dan keluar feri. CAP meminta penumpang feri supaya patuh kepada nasihat ini dan kakitangan feri perlu memantau dan mengarahkan penumpang feri supaya mematuhi arahan ketika masuk dan keluar feri.

 

Kenyataan Akhbar, 21 Mei 2020