Power Banks  Tidak Bermutu?

Pengguna yang membeli Power Banks untuk telefon bimbit mereka pada harga murah mendapati mereka dicekik darah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Kami membeli beberapa daripadanya selepas pengguna mendakwa Power Banks itu kehilangan kuasa dengan begitu cepat berbanding dengan saiz unitnya.

Apabila kami membukanya untuk melihat apakah isi di dalamnya, kami mendapati terdapat bateri murah untuk penyimpanan kuasa dan juga sarung bateri yang diisi pasir untuk menjadikan Power Banks itu lebih berat. Sepatutnya apabila lebih berat, kemampuan penyimpanan lebih banyak kuasa dan begitulah caranya pengguna memilih Power banks dengan saiz dan berat.

Mereka yang terlibat dalam membuat dan menjual Power Banks tiruan ini telah melakukan satu penipuan terhadap pengguna. Keselamatan Power Banks tiruan ini juga menjadi satu kebimbangan. Adakah ia boleh meletup atau terbakar?

Power Banks ini dijual secara terbuka dan secara meluas di pasar lambak, pasar malam dan pusat membeli-belah. Tinjauan kami juga mendapati barangan kurang bermutu ini kebanyakannya diimport dari China. Terdapat juga beberapa barangan import yang dilabelkan dalam bahasa asing dan tidak di dalam Bahasa Malaysia.

CAP mempersoalkan keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan barangan seperti itu. Memandangkan harganya yang murah, pengguna sering cenderung untuk menganggapnya sebagai barang murah, bagaimanapun ini mungkin membawa kepadapembaziran memandangkan barangan ini tidak dapat bertahan lama dan tidak boleh dipercayai. Biasanya barangan ini juga tidak boleh dipulangkan serta tanpa jaminan.

CAP juga amat bimbang berhubung tindakan penipuan ini juga akan menjejaskan produk murah lain terutama sekali barangan elektrik yang tidak dikawal. Di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, klausa 32(1) dan klausa 32 (2) (a), barangan yang dibekalkan kepada pengguna secara tersirat menjamin bahawa barangan itu bermutu, bebas daripada kecacatan, selamat dan tahan lama.

Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menguatkuasakan Akta dan mengambil tindakan segera dalam usaha untuk mengawal barangan seperti ini daripada dijual. Mereka yang bertanggungjawab bagi penipuan ini perlu didakwa dan bukan sekadar memberikan ‘nasihat’.

CAP juga turut menggesa Duta China ke Malaysia agar melihat perkara ini dan mengemukakannya kepada negara mereka bagi memastikan kualiti dan kebolehpercayaan produk mereka. Kami percaya tindakan seperti itu perlu diambil bagi memastikan kesetiaan pengguna Malaysia terhadap barangan dari China.

 

Kenyataan Akhbar, 19 Februari 2016