SAM BERANG CUBAAN MEMBUNUH POKOK DI WANGSA MAJU

City Hall Landscape & Recreation head Mustafa Mohd Nor checking on a girdled tree. The Malaysian Insider pic by Nuradilla Noorazam, December 15, 2015.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan hukuman berat ke atas pihak yang cuba membunuh 17 batang pokok di sebuah taman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SAM kesal dengan kejadian yang berlaku itu dan berharap siasatan segera dilakukan oleh pihak berkenaan bagi mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

Dalam kejadian ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati pokok-pokok yang ditanam di kawasan taman tersebut telah ditakek dan ditarah kulitnya supaya pokok-pokok itu mati.

Berikutan itu laporan polis telah dibuat oleh DBKL. Antara spesies pokok yang menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab ini ialah “Tabebuia”, “Batai”, “rain tree” dan “acacia” yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Pihak DBKL diminta berusaha sedaya upaya bagi memulihkan dan menyelamatkan pokok-pokok yang terlibat walau pun dilaporkan bahawa kesannya agak serius dan sukar untuk diselamatkan.

SAM kesal dengan kejadian ini kerana ia menjejaskan persekitaran taman dan tempat berteduh orang awam. Keselamatan orang ramai juga akan terancam, harta benda akan musnah dan lalulintas menjadi sesak jika pokok-pokok itu tumbang.

SAM berang dengan perbuatan ini dan menggesa tindakan undang-undang yang tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dan mengenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

 

Kenyataan Media, 16 Disember 2015