SAM Gesa Tindakan Segera Terhadap Syarikat Bertanggungjawab Terhadap Pencemaran Toksik Di Sungai Kim Kim, Johor

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang membuang bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang berlaku sejak 7 Mac, yang telah menjejaskan kesihatan hampir 500 orang terutamanya pelajar sekolah sepanjang sungai itu.

Lebih seminggu telah berlalu sejak tragedi pembuangan haram sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.  SAM berpandangan tindakan segera diperlukan untuk mengesan dan mendakwa pelaku terhadap apa yang dianggap sebagai jenayah alam sekitar yang serius.

Kami juga tertanya-tanya apakah tindakan pemulihan yang akan diambil untuk membersihkan sungai itu supaya bahan kimia toksik dan wasap daripada sisa buangan dicegah daripada menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk sekitar termasuk sekolah.

Penjelasan dan tindakan wajar daripada pihak berkuasa diperlukan memandangkan ini merupakan bencana besar yang tidak sepatutnya diulangi.

Selain daripada pelajar sekolah, penduduk Taman Pasir Puteh dan Kota Masai yang berdekatan Sungai Kim Kim juga merasakan kesihatan mereka turut terjejas dan bimbang mengenai pencemaran itu.

Sehubungan itu, SAM menggesa siasatan terperinci dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan JAS serta jabatan berkaitan yang lain untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

Kenyataan Akhbar, 13 Mac 2019