SAM gesa tindakan tegas diambil ke atas pencemar Sungai Rui 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa bimbang berhubung kejadian pencemaran arsenik di Sungai Rui Gerik Perak kerana ia bukan saja menjejaskan kualiti air sungai berkenaan dan hidupan di dalamnya tetapi juga boleh meragut nyawa manusia jika masalah ini gagal ditangani dengan berkesan.

Justeru SAM menggesa kerajaan Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan operasi perlombongan yang dipercayai menjadi punca pencemaran ini tidak lagi melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang itu.

SAM kesal walau pun Sungai Rui mengalami pencemaran sejak lebih 30 tahun yang lalu namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi menanganinya. SAM percaya jika keadaan ini dibiarkan, ancaman dan kesan buruk menyerupai bencana yang menimpa Sungai Kim Kim di Johor mungkin berlaku pada masa akan datang.

Dalam tinjauan yang dibuat, SAM difahamkan oleh penduduk-penduduk yang terlibat bahawa air Sungai Rui sebelum ini digunakan oleh mereka untuk mandi. Tetapi setelah ia mengalami pencemaran yang teruk bukan saja terdapat penduduk di sini mengalami penyakit kulit malah ikan serta udang didalamnya terancam kepupusan dan aktiviti pertanian juga terus terjejas.

SAM berharap masalah ini diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan kerana jika dibiarkan ia boleh memberikan kesan amat buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran sungai berkenaan.

Di samping penguatkuasaan undang-undang yang tegas, hukuman berat wajar dikenakan ke atas pihak yang di dapati bersalah melanggar peraturan yang termaktub di bawah akta berkaitan. SAM berharap sebuah jawatankuasa pemantau Sungai Rui dapat ditubuhkan segera bagi memastikan tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya melakukan pencemaran ke atas sungai itu.

SAM meminta maklumat terkini hasil siasatan dan ujian ke atas sampel air Sungai Rui didedahkan kepada penduduk-penduduk yang terlibat dari masa kesemasa bagi meredakan perasaan bimbang yang membelenggu diri mereka selama ini. SAM dengan kerjasama penduduk terbabit akan mengikuti perkembangan masalah ini dari masa ke semasa.

 

Kenyataan Media, 8 April 2019