SIASAT AKTIVITI MENYEDUT PASIR ANCAM PENDUDUK – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat aktiviti menyedut pasir di Kampung Jawa, Pinang Tunggal daerah Kuala Muda Kedah kerana ia menimbulkan berbagai masalah dan kebimbangan di kalangan penduduk di sini.

Aktiviti menyedut pasir di Sungai Mati di kampung tersebut mula beroperasi sejak dua bulan lalu telah menyebabkan berlakunya mendapan tanah,rumah retak,bunyi bising dan jalan rosak.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati lokasi menyedut pasir di sini terletak lebih kurang 250 meter dari rumah penduduk dan bersebelahan dengan projek tebatan banjir yang dibina di kawasan itu.

CAP hairan bagaimana aktiviti menyedut pasir ini dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa berkenaan walau pun ia boleh menjejaskan alam sekitar dan mengancam kehidupan penduduk tempatan termasuk keselamatan orang ramai.

CAP kesal walau pun masalah ini telah dikemukakan oleh penduduk-penduduk yang terlibat tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.

CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan kehidupan penduduk-penduduk di kampung tersebut akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. Kejadian mendapan tanah mungkin merebak secara meluas dan menjejaskan kediaman penduduk serta tanah pertanian di kawasan itu.

CAP bimbang jika aktiviti itu turut mengancam benteng tebatan banjir berhampiran kemungkinan ia akan pecah dan berlaku bencana yang lebih buruk di mana limpahan air deras melanda perkampungan dan kawasan pertanian di sini.

CAP menyeru supaya kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan segera menghentikan aktiviti ini agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan oleh semua jabatan dan agensi berkaitan.

CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada umum dengan secepat mungkin di samping berharap supaya pemilik rumah yang retak diberi pampasan yang setimpal dengan kerugian yang mereka alami.

 

Kenyataan Media, 24 November 2016