Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat segera cecair berbuih putih yang mencemarkan Sungai Keluang dekat zon perindustrian Bayan Lepas ketika ini.
CAP merasa bimbang dengan kejadian tersebut dan jika ia mengandungi bahan kimia berbahaya masalah pencemaran ini boleh mengancam alam sekitar, sumber pendapatan nelayan serta berpotensi menjejaskan kesihatan orang ramai.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP selepas menerima aduan kami mendapati sisa berkenaan mengalir masuk ke dalam sungai ini dari kawasan perindustrian Bayan Lepas melalui saluran yang terdapat di tempat itu dan terus merebak ke kawasan pengkalan nelayan dan laut berdekatan.
CAP percaya jika siasatan dan tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkenaan peristiwa yang pernah berlaku ke atas Sungai Juru daerah Seberang Perai Tengah (SPT) suatu ketika dulu dan Sungai Kim Kim di Johor baru-baru ini mungkin berulang.
Sisa beracun yang mengancam kedua-dua sungai tersebut bukan saja menjejaskan mata pencarian nelayan-nelayan di kawasan terbabit malah ikan dan kerang yang menjadi sumber pendapatan utama mereka telah mati dan pupus.
Di Kuala Kedah, Kedah pada awal tahun 1980an pencemaran kimia dari kilang racun di Kampung Padang telah menyebabkan kemusnahan tanaman padi yang diusahakan oleh pesawah-pesawah berdekatan dan kesihatan keluarga mereka turut terjejas.
CAP kesal kerana setiap kejadian pencemaran yang berlaku pihak yang bertanggungjawab gagal mengesan punca masalah ini lebih awal sehingga keadaan menjadi lebih buruk seperti yang terjadi di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Justeru CAP berharap JAS dan MBPP dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan lebih kerap di semua kawasan perindustrian dan sungai-sungai di Pulau Pinang bagi memastikan kilang-kilang yang beroperasi mematuhi undang-undang yang sedia ada. Pencemaran kumulatif dari sesuatu kawasan perindustrian juga perlu diberi perhatian kerana beban yang perlu ditanggung oleh badan air seperti sungai.
Hasil siasatan dan kajian mengenai pencemaran Sungai Keluang perlu didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin.
Kenyataan Media, 28 Jun 2019