Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar tindakan tegas dikenakan ke atas pesalah yang didapati bertanggungjawab terhadap tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan projek jalan raya berkembar, Jalan Bukit Kukus pada 17 Oktober lalu.
Melalui laporan akhbar kami mendapat tahu jawatankuasa siasatan khas yang dibentuk oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapati Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kontraktor Yuta Maju Sdn. Bhd., Jurutera Perunding GEA (M) Sdn. Bhd., jurutera pemeriksa bebas, G & P Professional Sdn. Bhd. bertanggungjawab terhadap tragedi yang meragut 9 nyawa itu.
Kami mengalu-alukan hasil siasatan jawatankuasa berkenaan mengenai siapa yang perlu bertanggungjawab ke atas tragedi berkenaan. Namun kami turut bimbang bahawa selain menyarankan tindakan menyenaraihitamkan kontraktor, perunding dan jurutera pemeriksa bebas daripada sebarang pertimbangan tender bagi projek pada masa hadapan, dan siasatan lanjutan pihak polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, tindakan tegas selanjutnya seolah-olah tidak disarankan.
Kami ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Negeri terhadap MBPP kerana gagal bertindak. Kerajaan Negeri perlu memastikan Datuk Bandar, MBPP dan pegawai-pegawai yang terbabit bertanggungjawab terhadap kegagalan mereka mengawasi dan memantau projek tersebut.
Tragedi yang meragut 9 nyawa itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh dan tindakan tegas sepatutnya diambil terhadap MBPP, antaranya termasuk tindakan disiplin yang tegas terhadap Datuk Bandar dan pegawai yang terlibat.
Jika tidak, ia akan menjadi suatu perkara biasa bagi MBPP kerana pegawainya akan dibenarkan bebas begitu sahaja tanpa rasa bersalah, dan tiada tindakan diambil untuk menaikkan tahap pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kerja-kerja mengorek tanah, pembinaan dan bangunan, di mana agensi ini bertanggungjawab terhadapnya.
Memastikan keselamatan demi kepentingan awam memerlukan tindakan tegas terhadap MBPP dan beberapa pihak lain yang bertanggungjawab terhadap kematian mereka yang tidak berdosa. Tragedi ini perlu dijadikan pengajaran untuk mengelaknya daripada berulang.
Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Negeri membuat hebahan awam mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil dan pembaikan yang akan dilakukan dalam MBPP untuk mengelak daripada tragedi sama berulang di masa hadapan.
Kami turut menggesa agar hasil penemuan jawatankuasa siasatan dihebahkan kepada awam demi ketelusan dan sikap bertanggungjawab.
Kenyataan Akhbar, 14 Februari 2019