Surat kepada Rakan-rakan Kami Presiden, S.M. Mohamed Idris

Surat kepada Rakan-rakan Kami Presiden, S.M. Mohamed Idris

Kepada rakan-rakan semua,

Dengan dukacitanya kami memaklumkan bahawa Presiden, S. M. Mohamed Idris telah meninggal dunia pada 17 Mei 2019.

S. M. Mohamed Idris hidup penuh aktif dan bermakna sehingga akhir hayatnya pada usia 93 tahun. Beliau menjadi Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) apabila ia ditubuhkan pada 1969. Sebelum itu, beliau merupakan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan sudah pun menjadi pemimpin komuniti yang terkenal. Beliau turut terlibat dalam pergerakan Kemerdekaan.

Selama 50 tahun beliau menerajui CAP, dengan pemahamannya yang mendalam berhubung masyarakat, sejarah, falsafah, spiritualisme dan alam serta tindakan, mobilisasi dan interaksi antara masyarakat dan kerajaan. Di bawah kepimpinannya, CAP memperjuangkan hak dan kepentingan pengguna, golongan miskin termasuk petani, nelayan, pekerja, penyewa tanah dan rumah, setinggan dan penduduk asli.

Dengan minatnya yang mendalam dalam semua perkara, daripada perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya, CAP mengambil banyak isu termasuklah penipuan dan amalan pemasaran yang tidak beretika, keselamatan makanan dan produk lain, pencemaran dan kemusnahan hutan dan sumber asli.

S. M. Mohamed Idris percaya bahawa memenuhi keperluan asas manusia menjadi keutamaan yang amat penting dan banyak projek mega oleh sektor awam dan swasta boleh merosakkan alam sekitar dan mengalihkan sumber berharga daripada memenuhi keperluan rakyat.

Beliau juga percaya dalam mengembangkan dan mengekalkan hubungan yang berpanjangan dengan individu, kumpulan kepentingan awam dan pertubuhan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, dalam perjuangan bersama untuk mengubah sistem dan struktur yang tidak adil untuk mewujudkan dunia yang lebih baik.

Ahli Majlis dan kakitangan CAP berikrar untuk meneruskan kerja-kerja S. M. Mohamed Idris. CAP juga turut tersentuh oleh banyak mesej takziah dan janji untuk meneruskan kerja-kerja yang dirintis oleh S. M. Mohamed Idris. Kami yakin bahawa jasa baik beliau akan terus hidup di dalam hati dan minda kami dan di dalam tindakan ramai orang yang mendapat inspirasi daripadanya.

Terima kasih di atas persahabatan, mengambil berat dan kerjasama yang anda dan rakan-rakannya yang ditunjukkan kepada S. M. Mohamed Idris dan CAP selama bertahun-tahun dan kami berharap ini akan berterusan dan bertambah kukuh untuk tahun-tahun yang akan datang.

Mohideen Abdul Kader
Naib Presiden
Bagi pihak Majlis Persatuan Pengguna Pulau Pinang