Sesetengah kemalangan tidak seharusnya berlaku di lebuh raya, contohnya akibat benda asing yang terdapat di atas lebuh raya. Bagaimanapun, kemalangan seperti itu berlaku apabila terdapat benda yang jatuh daripada kenderaan (terutamanya kenderaan berat) atau tayar celup yang pecah dengan meninggalkan cebisan getah di atas lebuh raya.
Pengguna lebuh raya membayar tol dan PLUS bertanggungjawab untuk menjaga bagi memastikan perjalanan mereka selamat dan tidak melanggar benda asing atau haiwan melintas di atas lebuh raya semasa memandu.
Untuk melindungi dirinya sendiri daripada tuntutan, PLUS telah menginsuranskan dirinya dan ada bahagian pengurusan tuntutan dan insurans.
Apabila tuntutan difailkan oleh penuntut, surat janaan komputer yang ditandakan “sulit dan tanpa prejudis” dihantar untuk menolak tuntutan dengan alasan standard bahawa apabila PLUSronda melalui kawasan itu sebelum kemalangan, tidak terdapat sesuatu di atas lebuh raya dan adalah mustahil bagi PLUSronda untuk berada di sepanjang lebuh raya pada setiap masa untuk bertindak dengan segera apabila sesuatu benda jatuh di atas lebuh raya. Maka PLUS tidak bertanggungjawab dan tidak dapat membayar sebarang pampasan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengingatkan PLUS bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga dan memastikan lebuh raya bebas daripada benda asing/haiwan yang boleh menyebabkan kemalangan dan kerosakan kepada kenderaan atau menyebabkan kecederaan kepada penumpang.
PLUS tidak boleh membebaskan dirinya daripada liabiliti dengan membuat dakwaan bahawa tiada sebarang benda asing atas lebuhraya ketika PLUSronda melalui kawasan itu dan ia tidak dapat memberikan amaran dengan segera terhadap sebarang bahaya di lebuh raya.
Pembelian insurans oleh PLUS adalah untuk melindungi dirinya sendiri terhadap tuntutan seperti itu. Oleh itu adalah tidak beretika bagi PLUS untuk menolak tuntutan yang sah dengan alasan yang dinyatakan di atas.
Tugas PLUSronda untuk membersihkan lebuh raya daripada sebarang halangan yang boleh membahayakan lalu lintas adalah untuk mengurangkan bilangan tuntutan insurans, bukannya untuk menafikan tuntutan insurans.
PLUS seharusnya menghentikan amalan tidak beretika yang menolak tuntutan insurans berdasarkan alasan yang tidak dapat dipertahankan bahawa ia tidak dapat menempatkan PLUSronda di sepanjang seluruh lebuh raya pada setiap masa untuk membersihkan dengan segera sebarang objek asing yang membahayakan lalu lintas.
Sebaliknya, PLUS perlu bertindak dengan sewajarnya dan meluluskan semua tuntutan yang tulen akibat daripada perlanggaran dengan benda asing di atas lebuh raya.
Kami menggesa PLUS supaya mengamalkan etika perniagaan yang baik, berhenti menolak tuntutan dengan alasan yang standard bahawa ia tidak dapat memastikan lebuh raya bersih daripada benda asing pada setiap masa dan meluluskan tuntutan yang tulen tanpa sebarang kerumitan.
Disebabkan PLUSronda tidak dapat memastikan lebuh raya bebas daripada benda asing pada setiap masa maka terdapat keperluan bagi insurans untuk membayar pampasan kepada pengguna lebuh raya yang mengalami nasib malang akibat melanggar benda asing di atas lebuh raya ketika memandu.
Jadi adalah tidak betul bagi PLUS untuk menolak tuntutan atas alasan yang lemah bahawa ia tidak dapat memastikan lebuh raya bebas daripada halangan pada setiap masa dan oleh sebab itu ia tidak bertanggungjawab terhadap kemalangan yang disebabkan oleh sebarang halangan.
Kenyataan Akhbar, 7 September 2020