TBRA Gesa Tindakan Segera Hentikan Pencemaran Logam di Laut Pantai Utara Pulau Pinang

Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) amat bimbang dan prihatin berhubung penemuan paras logam berat yang amat tinggi di perairan Tanjung Bungah serta Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang.

Menurut laporan media, paras nikel yang amat tinggi ditemui dengan kepekatan setinggi 944% lebih tinggi berbanding paras biasa di laut Taman Negara Pulau Pinang.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Pantai dan Marin Universiti Sains Malaysia (CEMACS), paras plumbum yang tinggi juga ditemui (melebihi 184% daripada paras biasa) manakala kadmium 32% lebih tinggi berbanding biasa.

Penemuan ini amat membimbangkan dan ditemui sepanjang pantai utara pulau sejak bulan lepas dan mungkin menjadi penyebab kematian ke pada kehidupan marin, demikian menurut Profesor Datuk Dr. Aileen Tan dari CEMACS.

Menurut laporan media, Profesor Tan telah memberitahu pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan mengenai penemuan itu tetapi sumber pencemaran itu masih tidak dapat dipastikan.

Memandangkan tiada aktiviti perindustrian dan pembangunan dibenarkan di Taman Negara Pulau Pinang, Prof. Tan dipetik sebagai berkata “hanya penjelasan logik bagi pencemaran ini ialah kapal-kapal yang melalui perairan ini mungkin membuang sesuatu,” yang mungkin masih berterusan sehingga kini berdasarkan paras logam yang tinggi.

TBRA menyuarakan kebimbangan yang didedahkan oleh CEMACS dan kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya dengan segera melantik pasukan petugas khas yang melibatkan pelbagai pihak berkuasa berkaitan bagi menangani sumber pencemaran logam berat ini dan mengambil semua langkah yang sepatutnya untuk menghentikan pencemaran termasuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya berenang di kawasan perairan itu.

Laut pantai utara Teluk Bahang dan Tanjung Bungah terkenal sebagai kawasan aktiviti berenang bagi penduduk tempatan dan pelancong asing, orang ramai tidak tahu sepenuhnya mengenai pencemaran ini.

Nikel, kadmium dan plumbum adalah logam berat yang amat toksik dan berbahaya kepada manusia dan kehidupan marin dan apa yang lebih membimbangkan ialah tiada tindakan yang telah diambil setakat ini, walaupun paras pencemaran yang tinggi ditemui.

Pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri mestilah bertindak dengan segera untuk menghentikan pencemaran laut kita dan melindungi kesihatan awam serta kemusnahan kehidupan marin.

 

Siaran Akhbar, 13 Mei 2019