Ucapan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris semasa pelancaran buku CAP “Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Tindakan Masyarakat di Pulau Pinang”

Ucapan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris semasa pelancaran buku CAP "Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Tindakan Masyarakat di Pulau Pinang"

Ucapan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris semasa pelancaran buku CAP “Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Tindakan Masyarakat di Pulau Pinang”

Pertama sekali Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sri Haji Rozali bin Haji Mohamud, atas kerjasama yang diberikan untuk bersama-sama melancarkan buku CAP yang bertajuk “Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Komuniti Tindakan di Pulau Pinang ”.

Buku ini menguatkan lagi penyelesaian yang diketuai oleh komuniti terhadap masalah sisa. Banyak tindakan dan kemenangan berhubung sisa sifar yang didedahkan dalam buku ini merupakan inisiatif yang diambil oleh Seberang Perai sejak beberapa tahun lalu. Kami merasa amat gembira kerana sekolah, pertubuhan berasaskan komuniti, persatuan penduduk dan individu yang dinyatakan dalam buku ini berada di sini untuk sama-sama meraikan majlis ini.

Jalan ke arah sisa sifar lebih daripada sekadar mengubah sisa dari tapak pelupusan sampah atau insinerator. Misi kami ialah untuk mencegah sisa daripada dihasilkan sejak awal dengan mengubah budaya penggunaan.

Pengguna inginkan lebih banyak, bukan hanya apa yang mereka perlukan malah apa yang mereka mahu atau inginkan. Ini ditambah lagi oleh pengeluar dan pengiklan yang mahu mengambil untung daripada tingkah laku pengguna. Tabiat penggunaan, pengeluaran, pengangkutan dan pembungkusan semasa menambah lagi krisis alam sekitar dunia.

Pengguna terputus hubungan daripada mana datangnya produk, bahan mentah yang diperlukan, proses yang terlibat, sisa yang dikeluarkan. Kita sebenarnya sedang memusnahkan bumi ini, sama ada secara sedar atau tidak.
Bagaimanapun, kami amat berbesar hati mengetahui ramai individu, pertubuhan dan perbandaran telah mengambil langkah untuk bertindak. Kita memerlukan pengguna yang peka dan pada masa yang sama menuntut pengeluar dan peruncit menjadi lebih sedar, beretika dan berubah kepada yang lebih baik. Jika kita terus bersikap seperti biasa, kita semakin dekat dengan keruntuhan tamadun.

Tindakan kecil yang anda ambil, dengan melakukan kompos sisa organik, mengurangkan penggunaan, menolak plastik, menanam makanan anda sendiri, menghidupkan semula amalan tradisional, menjimatkan air, mengurangkan tenaga dan menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama adalah satu langkah ke arah masa depan yang lebih baik.
Kita adalah sebahagian daripada komuniti global yang sedang mencari jalan keluar kepada penyelesaian. CAP ingin mengucapkan terima kasih kepada Global Alliance for Incinerator Alternatif yang menjadi sebahagian daripada usaha ini dan bekerjasama rapat sejak 18 tahun lepas sejak ditubuhkan pada 2000 kerana menyokong kami dalam projek ini.
Daripada tindakan bersama yang kita ambil, kita boleh mewujudkan kesan riak melalui seluruh sistem. Di Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan dan negeri sangat proaktif dengan mengharamkan pengedaran beg plastik secara percuma di kedai tertentu, mengharamkan bekas makanan polistirena dan menguatkuasakan pemisahan mandatori sisa pepejal di sumber.

Kini, kita seharusnya bergerak ke arah lebih banyak tindakan seperti mengharamkan semua barangan plastik guna sekali termasuk straw, perkakas pakai buang, peralatan makan, beg beli-belah, botol air, dan mikroplastik. Ia tidak mustahil memandangkan banyak lagi majlis perbandaran, negeri dan negara telah mengumumkan pengharaman ini dan mula menghapuskan barangan ini.
MPSP, MBPP dan kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi seharusnya mengambil teraju utama untuk mengurangkan pencemaran plastik dan penjanaan sisa pada keseluruhannya. Menjadikan sisa organik sebagai kompos dan mengurangkan sisa makanan mesti diutamakan dan dipergiatkan lagi.

CAP, dan saya pasti penduduk Pulau Pinang, akan terus memberi sokongan kerana ini akan memastikan kualiti kehidupan dan alam sekitar yang lebih baik.