Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8(1) yang memerlukan peniaga mempamerkan tanda harga bagi barangan untuk dijual.
Tinjauan berulang kali kami di sekitar Pulau Pinang menunjukkan kebanyakan peniaga secara terbuka melanggar Akta Kawalan Harga. Hasil tinjauan kami adalah seperti berikut:
Pelaku kesalahan utama adalah gerai di mana harga minuman dan makanan yang dijual di gerai tidak mempunyai senarai harga atau tanda harga yang dipamerkan.
Pelaku kesalahan kedua dalam senarai ialah restoran di mana tanda harga tidak dikemaskini, senarai harga makanan yang tidak jelas dan biasanya mengelirukan pengguna.
Dengan tidak mempamerkan tanda harga, pengguna biasanya akan “tertipu”.
Menurut Akta itu adalah menjadi tanggungjawab penjual untuk memastikan pembeli diberitahu harga barangan dan kekurangan penguatkuasaan menghalang keberkesanan undang-undang ini.
Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan tegas dan menguatkuasakannya dengan lebih ketat undang-undang ini selaras dengan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 dan mendakwa mereka yang melakukan kesalahan.
Kenyataan Akhbar, 31 Oktober 2017