
Kira-kira 300 nelayan di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang merasa bimbang sumber pendapatan mereka teruk merosot akibat pencemaran sungai dan laut yang berlaku di kawasan itu ketika ini.
Masalah yang berlaku sejak lebih 20 tahun lalu itu berpunca daripada aktiviti ternakan udang yang telah memusnahkan beratus hektar hutan bakau di kawasan tersebut dan membuang sisa kolam ke dalam saliran, sungai serta laut berhampiran.
Berikutan itu, tempat hidupan laut membiak telah terancam manakala ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan tersebut semakin pupus.
Jika masalah ini tidak berlaku mereka memperolehi pendapatan mencecah RM200.00 sehari tetapi sekarang hanya tinggal RM30.00 hingga RM70.00 saja sehari.
Selain mencemarkan sungai dan laut, sisa buangan dari kolam udang ini juga telah menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan tersebut.
Banyak aduan dibuat oleh nelayan-nelayan yang terlibat kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil.
CAP kesal dengan sikap pihak berwajib kerana tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman pencemaran yang berlaku dan membiarkan sumber perikanan serta nelayan di sini terus menjadi mangsa.
Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
CAP bimbang jika masalah ini tidak ditangani dengan berkesan alam sekitar di kawasan itu akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang dan nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut akan putus mata pencarian.
CAP membantah keras jika terdapat rancangan baharu oleh mana-mana pihak untuk meneroka hutan paya bakau di kawasan ini bagi melaksanakan perojek ternakan udang kerana ia boleh mencetuskan ancaman lebih buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan.
Kenyataan Media, 16 Mac 2021
