TANGANI SEGERA MASALAH BEKALAN AIR UNTUK PENDUDUK BALING – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa kesal berikutan kejadian masalah bekalan air paip yang masih dihadapi oleh 15,000 penduduk luar bandar di daerah Baling, Kedah ketika ini.

Walau pun masalah tersebut sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu namun ia masih tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri ini.

Mengulas laporan akhbar  Utusan Malaysia – 15 Mac 2021, CAP berharap kerajaan Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) segera menyiasat dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Ketika ini kira-kira 20 buah kampung yang terlibat dengan masalah itu masih tidak mendapat bekalan air bersih yang sempurna bagi kegunaan harian penduduk terbabit.

CAP bimbang jika keadaan seperti ini berterusan ia bukan saja menjejaskan aktiviti harian mereka tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan jika terus menggunakan sumber bekalan air yang tercemar.

Justeru itu, SADA perlu membekalkan air bersih secukupnya kepada penduduk-penduduk yang terlibat. Kerajaan Kedah juga mesti mengambil tindakan bagi mengatasi punca pencemaran sumber air yang berlaku bagi menjamin masa depan kesihatan penduduk-penduduk di daerah ini.

Selain masalah pencemaran sungai, aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dihentikan segera agar bekalan air masyarakat yang sejak sekian lama digunakan oleh penduduk di pedalaman daerah ini tidak terjejas.

 

Kenyataan Media, 17 Mac 2021