Setiap Hari Bumi, kita merenung keadaan planet kita,dan kita kerap mendapati ianya lebih teruk daripada tahun sebelumnya. Malangnya, hari ini juga tidak terkecuali. Daripada genosid dan ekosid yang berterusan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin, kepada lonjakan dasar anti-alam sekitar di Amerika Syarikat, Bumi sedang menghadapi salah satu babak paling gelap.
Keluarnya Amerika Syarikat (AS) daripada komitmen Perjanjian Paris dan pengembangan berterusan dalam penggunaan bahan api fosil dengan mantera ‘drill-baby-drill’ hanya akan membawa dunia kepada lebih banyak bencana iklim, dengan penderitaan yang tidak terhingga yang disebabkan oleh planet yang lebih panas. Dunia pastinya tidak berada di landasan untuk mengehadkan kenaikan suhu mengikut matlamat Perjanjian Paris.
Kita perlu meningkatkan dan meneruskan usaha kita di peringkat global dalam menangani cabaran ini, dengan bergabung bersama negara lain yang berfikiran sama untuk menyelamatkan planet ini, sambil menghormati prinsip kesaksamaan danbersamatetapi tanggungjawab berbeza antara negara maju dan membangun. Di negara kita sendiri, banyak lagi yang perlu dilakukan.
Mengenai iklim, keutamaan dan perhatian yang lebih besar mestilah diberikan untuk membina daya tahan iklim kita, melalui pecutan Pelan Penyesuaian Nasional (National Adaptation Plan – NAP) oleh kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri dan tempatan juga mestilah menyepadukan usaha penyesuaian ke dalam perancangan merentas semua sektor, dengan memberi perhatian khusus untuk menjamin pengeluaran makanan, keterjaminan air dan penjagaan kesihatan. Walaupun banyak tumpuan diberikan kepada peralihan tenaga, tidak cukup perhatian diberikan kepada tindakan penyesuaian dan usaha untuk membina daya tahan kita terhadap kesan perubahan iklim. Ini mesti berubah.
Dari segi biodiversiti, berkenaan dengan perlindungan hutan kita, dakwaan yang sering diulang-ulang oleh kerajaan Malaysia bahawa 55 peratus daripada kawasan tanah negara ini masih di bawah litupan hutan perlu dijustifikasi dengan data sebenar mengenai berapa banyak yang sebenarnya dilindungi atau hutan pemuliharaan. Berdasarkan data yang diterbitkan dalam Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2018 dan dianalisis oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), 50 peratus daripada litupan hutan atau 27 peratus daripada kawasan tanah negara kita telah disimpan secara kekal sebagai hutan pengeluaran, terutamanya bagi pembalakan dengan sebahagian besar ditetapkan bagi penukaran kepada ladang monokultur. Hanya 29 peratus daripada litupan hutan kita atau 16 peratus daripada kawasan tanah negara kita terdiri daripada hutan yang dilindungi atau untuk pemuliharaan. Hutan kita terus terancam oleh penukaran.
Sehingga hari ini, pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 hanya berkuat kuasa di Perlis pada 1 April 2023 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 1 Februari 2025. Kami menggesa negeri-negeri yang lain di Semenanjung Malaysia yang masih belum menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang diwartakan pada 20September 2022 untuk berbuat demikian dengan segera.
Salah satu pindaan paling penting kepada Akta ini ialah pengenalan seksyen 11 yang baharu, menggantikan yang lama berhubung dengan mengeluarkan mana-mana kawasan tanah hutan simpanan kekal (HSK). Pindaan baharu itu membenarkan bagi mengeluarkan mana-mana kawasan tanah itu dilakukandengan tertakluk kepada suatu siasatan awam, mengikut peraturan yang akan dirangka kemudian oleh kerajaan. Oleh sebab itu, kami menggesa kerajaan negeri untuk segera mengambil langkah bukan sahaja untuk menerima pakai pindaan Akta 2022 tetapi juga untuk terus mewartakan HSK sebagai kawasan perlindungan atau pemuliharaan.
Kami juga menyaksikan kebangkitan kerajaan negeri dan syarikat yang mendorong projek kredit karbon di hutan. Mereka mendakwa bahawa hutan tidak dibalak atau ditukar gunatanah sebagai pertukaran untuk penjanaan kredit karbon untuk dijual dan didagangkan kepada syarikat yang membeli kredit ini untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka. Kebimbangan utama adalah mengenai integriti alam sekitar projek karbon tersebut, dan khususnya sama ada masyarakat tempatan dan orang asli di kawasan itu telah dirujuk dengan betul, selaras dengan prinsip izin, maklum awal, bebas dan telus diikuti. Pengimbangan karbon tidak membawa kepada pengurangan pelepasan sebenar dan sebenarnya merupakan penyelesaian palsu.
Selain itu, projek yang tidak mampan ini juga perlu dihentikan daripada digalakkan, seperti projek penambakan di seluruh negara, yang bukan sahaja mahal, tetapi juga mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan yang memusnahkan sumber perikanan yang tidak ternilai dan biodiversiti marin secara tidak dapat dipulihkan. Sebahagian daripada kesan kepada alam sekitar ini tidak boleh dikurangkan begitu sahaja, kerana ia menyebabkan kerosakan kekal kepada ekosistem yang tidak boleh diganti.
Akan sentiasa ada persaingan antara keperluan ekonomi dan alam sekitar, dengan keuntungan untuk industri hampir sentiasa diutamakan. Sudah sampai masanyauntuk kita menyedari bahawa Bumi ini berada pada hadnya dan jika kita terus mengabaikan tanda amaran yang telah kita lihat ini, maka harga yang terpaksa kita bayar amat mahal.
Selaras dengan tema Hari Bumi pada tahun ini, “Kuasa Kita, Planet Kita”, sebagai rakyat Malaysia, kita mesti ingat bahawa setiap daripada kita memegang kuasa untuk mencipta perubahan. Kita bukanlah tidak berdaya. Setiap tindakan adalah penting sama ada menandatangani petisyen, menyebarkan kesedaran, menghubungi ahli Parlimen anda atau menuntut akauntabiliti kerajaan dan syarikat.
Hari ini, dan setiap hari, marilah kita komited bukan sahaja untuk melindungi planet initetapi untuk berdiri teguh di antara satu sama lain, dengan harapan dan tindakan, untuk dunia yang lebih adil dan mampan.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Surat Kepada Pengarang, 22 April 2025


