ATASI SEGERA MASALAH HAKISAN TANAH DI TELUK NIPAH – CAP

Keadaan perairan Teluk Nipah yang dicemari sisa lumpur akibat hakisan tanah dari bukit berhampiran.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan tanah yang berlaku di Kampung Teluk Nipah daerah Kuala Muda ketika ini.

CAP kesal, walau pun kejadian yang berpunca dari penerokaan bukit dan aktiviti penambakan tanah di kampung itu telah berlarutan sejak empat tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak bagi mengatasinya.

Dalam tinjauan yang dibuat, CAP mendapati keadaan air laut di perairan Teluk Nipah berwarna merah serta berlumpur akibat hakisan tanah dari kawasan bukit berhampiran. Keadaan itu turut menjejaskan aktiviti dan sumber pendapatan kira-kira 100 nelayan pantai di kampung berkenaan.

Sebahagian dari kawasan yang terhakis di Kampung Teluk Nipah.

Kejadian ini berlaku dengan lebih serius ketika ombak besar membadai kawasan penambakan dan hujan lebat menghakis tanah dari bukit yang diteroka. Jika tindakan pencegahan tidak diambil nescaya cerun bukit yang terlibat mungkin runtuh dan masalah alam sekitar yang lebih teruk akan berlaku.

CAP percaya jika punca masalah ini dibiarkan kesan ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. Pencemaran laut dan mendapan sisa lumpur boleh menyebabkan hidupan laut seperti ketam, siput, ikan dan udang mengalami kepupusan.

Sekitar jeti nelayan di sini juga mungkin menjadi cetek dan akan menyukarkan mereka mendaratkan hasil tangkapan termasuk melabuhkan perahu serta menjalankan aktiviti keluar masuk ketika pergi ke laut.

Justeru itu CAP berharap pihak berkenaan menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan dengan berkesan agar kejadian ini tidak berterusan mencemarkan alam

sekitar dan mengancam kehidupan nelayan pantai di kampung tersebut.

CAP memohon agar benteng cegah hakisan di lokasi kejadian dibina segera bagi mengelak sisa lumpur mengalir ke laut dan mencemarkan kawasan perikanan yang menjadi tempat para nelayan pantai di sini mencari rezeki.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 15 Julai 2025