
Bumi kita tercekik dengan plastik dan bahan kimia. Pengeluaran dan penggunaan berlebihan plastik sedang mengancam kehidupan di Bumi – kepelbagaian biologi, keselamatan makanan, kesihatan kita dan iklim. Pencemaran plastik mengancam semua yang kita cintai dan menjejaskan kesihatan kita. Tetapi kita masih berpeluang mengatasi masalah ini!
Negara-negara dari seluruh dunia sedang merundingkan sebuah perjanjian antarabangsa – Perjanjian Plastik Global – yang bertujuan menangani pencemaran plastik pada puncanya, dari segi pencegahan, pengurangan, dan kemampanan, dengan melangkaui usaha pembersihan dan menyasarkan perubahan sistemik. Jawatankuasa perundingan telah bermesyuarat sebanyak lima kali. Mesyuarat terakhir yang akan datang (INC-5.2) akan diadakan di Geneva dari 4-14 Ogos, 2025.

Seratus pertubuhan telah menandatangani sebuah memorandum yang menyeru kerajaan Malaysia agar merundingkan satu Perjanjian Plastik Global yang bercita-cita tinggi dan dapat melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar daripada pencemaran plastik dan bahan kimia. Memorandum ini telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Malaysia dan para Menteri berkenaan pada 14 Julai 2025.
Tuntutan kami ialah Perjanjian Plastik Global harus mengandungi:
1. Suatu Artikel yang menumpu kepada perlindungan kesihatan manusia daripada bahaya pengeluaran, penggunaan dan pelupusan plastik, untuk mengukuhkan penyelidikan dan pemantauan kesan mikroplastik dan bahan kimia plastik terhadap kesihatan manusia, ke arah pemulihan dan pampasan bagi semua yang terjejas oleh pencemaran plastik, termasuk pekerja sepanjang kitaran hidup plastik, terutamanya masyarakat pemungut sampah dan orang asal di Selatan Global, melalui peralihan yang adil
2. Kawalan global yang mengikat secara sah, bukannya langkah sukarela atau nasional yang tidak berkesan dalam menangani sifat pencemaran plastik yang merentas sempadan. Ini merangkumi sasaran global untuk mengurangkan pengeluaran dan penggunaan polimer plastik primer; senarai global bahan kimia berbahaya berkaitan plastikyang mesti dihapuskan; kriteria global untuk mengenal pasti produk plastik yang tidak penting, tidak perlu, dan bermasalah, serta senarai global produk yang mesti dihapuskan secara berperingkat.
3. Langkah-langkah untuk menambah baik reka bentuk produk plastikyang mengurangkan sisa plastik melalui kebolehgunaan semula dan kebolehbaikan, dengan keperluan pelaporan, ketelusan, kebolehkesanan dan pendedahan maklumatyang selaras mengenai pengeluaran dan sisa plastik (termasuk bahan kimia yang berkaitan), untuk memastikan kumpulan bahan kimia berbahaya dikenal pasti dan digantikan secara progresif dengan alternatif yang lebih selamat.

4. Langkah-langkah untuk menamatkan pencemaran plastik dengan mengawal selia pengeluaranbahan kimia berkaitan plastik (melalui daftar pelepasan dan pemindahan bahan pencemar) serta mengawal kebocoran dan pelepasan plastik, termasuk mikroplastik, pelet plastik dan peralatan menangkap ikan, melalui perundangan baharu.
5. Langkah-langkah pencegahan sisa, seperti infrastruktur guna semula dan isi semulayang menekankan peredaran pembungkusan boleh guna semula yang standard dan selamat; mekanisme tanggungjawab pengeluar lanjutan mandatori yang mengutamakan reka bentuk produk, pengurangan sisa, dan logistik balikan untuk pengumpulan sisa dan kitar semula yang selamat, dimaklumkan oleh penilaian kitaran hayat yang komprehensif untuk memastikan manfaat alam sekitar boleh disahkan; dan persetujuan maklum awal dan ketelusan data untuk semua pengeksportan sisa plastik; sambil menolak teknologi atau pengganti yang memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, dan tidak menangani lebihan pengeluaran plastik, termasuk kitar semula kimia, pembakaran, bahan api yang berasal dari sisa (refused-derived fuel), dan pengganti plastik yang dikesali seperti plastik berasaskan bio, terbiodegradasi dan kompos yang didapati mengandungi bahan kimia toksik dan logam berat.
Nota: Kami masih menerima penyokong kepada memorandum ini di https://bit.ly/plastictreatyMY sehingga 3 Ogos 2025 menjelang permulaan INC5.2.
Klik pautan di bawah untuk versi penuh memorandum ini:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2025/07/250714-Memorandum-Menyeru-Pimpinan-Malaysia-dalam-INC5.2-Perjanjian-Plastik-1.pdf

