Sepanyol Haramkan Akses Media Sosial untuk Kanak-kanak Bawah 16 Tahun

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai pada 3 Februari 2026. (Gambar: Fadel Senna/AFP/Getty Images melalui CNN)

Sepanyol akan mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dan memerlukan platform untuk menggunakan alat pengesahan umur yang lebih ketat, menyertai Australia, Perancis dan Denmark dalam langkah untuk mengekang pengaruh platform digital terhadap kanak-kanak.

“Anak-anak kita terdedah kepada ruang yang mereka tidak pernah dimaksudkan untuk mengemudinya secara sendirian. Ruang ketagihan, penderaan, pornografi, manipulasi dan keganasan,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez pada 3 Februari. “Kami tidak akan menerimanya lagi, kami akan melindungi mereka daripada Wild West digital.”

Bercakap pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia (WGS) di Dubai, Sánchez berkata kerajaannya juga akan memperkenalkan undang-undang baharu untuk memastikan eksekutif media sosial bertanggungjawab secara jenayah kerana gagal mengalih keluar kandungan yang menyalahi undang-undang atau kebencian.

Peraturan baharu itu juga akan menyekat orang dan platform yang memperluaskan kandungan haram, termasuk melalui algoritma. “Kami akan menukar manipulasi algoritma dan perluasan kandungan haram menjadi satu kesalahan jenayahbaharu,” katanya. “Menyebarkan kebencian mesti datang dengan harganya.”

Proses meluluskan undang-undang itu akan bermula pada minggu depan. Langkah lain yang dicadangkan termasuklah membangunkan “jejak kebencian dan polarisasi,” kata Sánchez, sebuah sistem untuk menjejak dan mengukur bagaimana platform digital mendorong perpecahan dan memperluaskan lagi kebencian.

Pada Disember, Australia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan pengharaman media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, menghalang akses kepada 10 platform, termasuk Facebook, TikTok, Instagram, Snapchat dan X. Britain pula sedang mempertimbangkan langkah yang sama, manakala Perancis dan Denmark baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menghentikan kanak-kanak bawah 15 tahun mengakses media sosial.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata bulan lalu bahawa beliau mahu mempercepatkan proses undang-undang untuk memastikan pengharaman itu akan dilaksanakan sebelum permulaan tahun persekolahan baharu pada September.

Negara-negara lain di Eropah juga mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap syarikat media sosial. Sánchez berkata Sepanyol telah bergabung tenaga dengan 5 negara Eropah lain “komited untuk menguatkuasakan peraturan media sosial yang lebih ketat, lebih cepat dan lebih berkesan.” Beliau tidak menamakan negara tetapi menjelaskan bahawa kumpulan itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam beberapa hari akan datang dengan tujuan untuk menyelaraskan penguatkuasaan merentasi sempadan.

“Ini adalah pertempuran yang jauh melebihi sempadan mana-mana negara,” katanya.

Sumber: CNN (3 Februari 2026)