
Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat khuatir dengan pembaharuan lesen yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd., untuk tempoh 10 tahun lagi sehingga 2 Mac 2036, seperti yang diumumkan oleh Menteri, Datuk Chang Lih Kang pada Isnin, 2 Mac.
SAM berpendapat bahawa syarat-syarat dalam pembaharuan lesen terbaru ini hanyalah sekadar “tabir asap” (smokescreen), untuk mengekalkan status quo Lynas, yang membolehkan mereka terus menghasilkan dan mengumpul lebih banyak sisa radioaktif. Sementara itu, tiada data umum tersedia yang menunjukkan kejayaan nyata dalam mengurangkan tahap radioaktiviti ke tahap yang mungkin tidak lagi diklasifikasikan sebagai sisa radioaktif.
Pilihan terbaik dan paling berkesan dalam pembaharuan lesen Lynas, sepatutnya adalah agar semua sisa radioaktif yang dihasilkan setakat ini dan pada masa hadapan, dihantar balik ke Australia untuk pengurusannya.
Sebarang pendekatan lain adalah tidak bertanggungjawab, kerana beban tersebut diserahkan kepada kerajaan dan orang awam untuk menguruskan sisa radioaktif Lynas selama beribu-ribu, malah berjuta-juta tahun akan datang, memandangkan thorium mempunyai jangkahayat radioaktiviti yang panjang.
Menurut pengumuman Menteri, syarat-syarat berikut telah dikenakan bagi pembaharuan lesen tersebut:
- Lynas dikehendaki berhenti menghasilkan sisa Water Leach Purification [WLP] (yang bersifat radioaktif) selepas 5 tahun, menjelang 2031;
- Semua sisa WLP yang dihasilkan dalam tempoh 5 tahun tersebut (2026–2031) mestilah dineutralkan ke bawah 1 Bq/g. Sebaik sahaja ia berada di bawah tahap ini, ia tidak lagi diklasifikasikan sebagai sisa radioaktif dan diklasifikasikan sebagai sisa terjadual;
- Tiada kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu akan dibenarkan; dan
- Lesen tersebut akan disemak semula selepas 5 tahun pertama dan boleh dibatalkan sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.
Kebimbangan kami berpunca daripada fakta bahawa ini bukanlah kali pertama Lynas diminta menghentikan pengeluaran sisa WLP dan untuk meneutralkan atau mengeluarkan torium [unsur radioaktif] daripada sisa tersebut. Dalam lesen terdahulu yang baru sahaja tamat, salah satu syaratnya adalah untuk Lynas menjalankan “Penyelidikan & Pembangunan” (Research & Development – R&D) bagi mengurangkan kepekatan aktiviti dalam sisa WLP ke tahap di bawah 1 Bq/g melalui kitar semula atau kaedah lain yang diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom [kini dipanggil ATOM Malaysia – atau Jabatan Tenaga Atom Malaysia].
Malah, sejak 2012, dalam lesen pertama yang diberikan kepada Lynas, Lynas dikehendaki menjalankan penyelidikan untuk kitar semula, meminimumkan sisa, dan pengkomersilan sisa WLP, termasuk keperluan untuk memastikan sebarang penggunaan semula sisa tersebut adalah di bawah kadar 1 Bq/g.
Segala perbincangan mengenai R&D setakat ini hanyalah percubaan eksperimen sahaja, dan orang awam juga turut tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku, atau sama ada terdapat sebarang kejayaan yang mampu dihasilkan semula pada skala industri.
Tambahan pula, dalam lesen bagi tempoh 2020 hingga 2023, syarikat tersebut dikehendaki memastikan loji Retakan dan Larut Lesap [C/L] di luar negara beroperasi khususnya sebelum Julai 2023 dan selepas tempoh tersebut, tiada bahan mentah baharu yang mengandungi Bahan Radioaktif Semulajadi (NORM) akan diimport ke Malaysia dan tiada sisa WLP boleh dihasilkan di loji tersebut selepas proses C/L dipindahkan ke luar negara. Tiada tanda-tanda bahawa proses pemindahan ini pernah atau telah berlaku.
Sebaliknya, di sebalik syarat pelesenan awal yang dikenakan ke atas Lynas untuk memulangkan sisa yang dihasilkan ke Australia, kerajaan telah berundur daripada syarat-syaratnya sendiri, menyerah kalah, dan membenarkan Lynas melupuskan sisa radioaktifnya di kemudahan pelupusan kekal di Gebeng, Pahang, yang menimbulkan ancaman radioaktif kepada generasi akan datang.
Memandangkan sejarah bagaimana kerajaan telah berurusan dengan Lynas sejak 2012, kami tidak yakin sama sekali bahawa sisa WLP Lynas yang dihasilkan kali ini di bawah lesen semasa ini bukan lagi berradioaktif atau sisa WLP yang akan dijana di masa hadapan akan dibawa keluar dari Malaysia bila PDF sudah penuh.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan menghentikan sandiwara ini dan bertindak secara bertanggungjawab dengan tidak membenarkan penghasilan sisa radioaktif yang seterusnya.
Masa yang mencukupi telah diberikan untuk perkara ini dan sudah tiba masanya untuk semua sisa WLP dihantar balik ke Australia, seperti yang dijanjikan pada asalnya oleh Lynas kepada kerajaan ketika ia mula-mula datang ke negara ini.
Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia
Surat Kepada Pengarang, 5 Mac 2026

