Setiap kali harga minyak melonjak, dunia diingatkan mengenai satu kebenaran yang mudah: bahan api fosil bukan sahaja buruk untuk iklim, ia juga berbahaya kerana sifatnya yang tidak menentu.
Krisis tenaga semasa yang didorong oleh konflik di Timur Tengah yang dicetuskan oleh serangan tidak sah Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran telah menyebabkan kerajaan mahupun setiap keluarga terpaksa bergelut menyerap kos tenaga yang lebih tinggi. Tetapi di sebalik isu hangat ini, terdapat pengajaran yang lebih mendalam: seharusnya, usaha untuk mempertingkatkan pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui bukan sahaja berkait seputar pengurangan emisi karbon; ia juga perlu untuk melindungi ekonomi kita daripada kacau bilau pasaran minyak global.
Hari ini, negara-negara yang telah banyak melabur dalam tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin hari ini, ternyata mempunyai keupayaan yang lebih untuk menghadapi masa yang amat sukar ini. Bil elektrik di negara-negara ini akan kurang terdedah terhadap kacau bilau pasaran minyak dan ketidakstabilan geopolitik. Tenaga yang boleh diperbaharui, dengan kos yang boleh diramal dan pengeluaran domestik, boleh bertindak sebagai penstabil dalam landskap tenaga yang bergelora.
Namun, laluan untuk mempertingkatkan pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui tidaklah mudah. Kekurangan sumber dana untuk membangunkan tenaga seperti ini adalah halangan utama, terutamanya bagi negara-negara membangun, di mana kos pinjaman adalah tinggi dan segala janji tentang pembangunan dana iklim seringkali gagal dipenuhi. Perkara ini adalah amat jelas pada perbincangan iklim global setiap tahun.
Rantaian bekalan untuk mineral kritikal seperti litium, kobalt, nadir bumi semakin dipolitikkan, sehingga ia menimbulkan kebimbangan bahawa peralihan tenaga bersih akan meniru pola kebergantungan yang sama seperti bahan api fosil. Kemudian terdapat pula masalah isu pembangunan grid yang tidak memadai, yakni infrastruktur lapuk di banyak negara yang tidak dapat mengendalikan kepelbagaian input tenaga yang boleh diperbaharui. Ini menyebabkan sebegitu banyak potensi tersia-sia begitu sahaja dan sebegitu ramai pelabur yang kecewa.
Cabaran politik juga adalah sama beratnya. Subsidi bahan api fosil masih jauh lebih besar daripada insentif bagi tenaga yang boleh diperbaharui di banyak negara. Ini mengunci ekonomi dengan corak lama. Tanpa peralihan dasar yang berani, risikonya ialah peralihan ini akan terhenti tatkala ia sangat-sangat diperlukan. Dan jika peralihan tersebut tidak diurus secara saksama dengan memastikan komuniti yang seringkali terjejas akan benar-benar memperolehi manfaat dan bukannya lagi menanggung segala kesan buruk, ia boleh mencetuskan tentangan sosial yang boleh menjejaskan pembangunannya.
Kenaikan harga minyak kali ini bukan sekadar suatu krisis; ia adalah satu amaran. Tenaga yang boleh diperbaharui mesti dirangka bukan sahaja sebagai suatu penyelesaian iklim tetapi sebagai perisai terhadap ketidakstabilan ekonomi. Pilihannya sangat jelas: samada kita meneruskan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang tidak menentu, atau melabur untuk masa depan dengan tenaga bersih, mampu milik dan selamat.
Dunia telah berada di dalam situasi sama sebelum ini. Setiap kejutan minyak telah mendorong perbincangan mengenai alternatif. Namun momentum itu pudar apabila harga menjadi stabil. Kali ini, pertaruhannya adalah lebih tinggi. Krisis iklim kita semakin serius kerana suhu bumi mungkin akan meningkat melebihi had di bawah Perjanjian Paris dalam waktu terdekat ini, dan kos setiap penangguhan akan semakin meningkat.
Jika kerajaan menganggap tenaga yang boleh diperbaharui sebagai penawar kepada kedua-dua risiko iklim dan keadaan tenaga yang tidak terjamin, krisis semasa boleh menjadi titik perubahan yang ditunggu-tunggu oleh sejarah.
Walau bagaimanapun, ini memerlukan kerjasama global yang tulen melalui menangani hambatan yang menghalang atau menangguhkan peralihan yang adil yang diperlukan di negara-negara selatan.
Persidangan iklim di Antalya, Turki pada November tahun ini, memberikan satu peluang bila kerajaan-kerajaan membincangkan penubuhan Mekanisme Peralihan-Peralihan yang Adil.
Semoga kerjasama tulen akan meredakan pertempuran antara negara-negara utara dan selatan yang melelahkan, dan dunia akan menuju ke arah peralihan yang saksama dan jauh daripada bahan api fosil.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Surat Kepada Pengarang, 16 Mac 2026

