Kesihatan Awam Malaysia Terancam: Kumpulan Beri Amaran Terhadap Industri Asbestos Asing Yang Cuba Menggagalkan Usaha Peralihan Daripada Penggunaan Asbestos Di Peringkat Nasional

Bersempena dengan Minggu Kesedaran Asbestos Global 2026, kami, organisasi-organisasi yang bertanda tangan di bawah mengeluarkan amaran segera kepada seluruh rakyat Malaysia: kesihatan awam negara kita sekali lagi menjadi sasaran lobi industri asbestos asing.

Pada tahun 2014, Malaysia hamper melaksanakan pengharaman asbestos yang mampu menyelamatkan nyawa, namun inisiatif tersebut telah digagalkan akibat tentangan kuat daripada pihak korporat. Hari ini, ketika Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil langkah yang tepat untuk menyemak semula dan melaksanakan peralihan daripada penggunaan mineral toksik ini secara berfasa, Persatuan Krisotil Antarabangsa (ICA) sekali lagi cuba mengganggu-gugat dasar negara kita. Kita tidak boleh membiarkan sejarah berulang.

ICA baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa “tiada bukti saintifik”mengenai kesan negative kesihatan akibat penggunaan asbestos krisotil di Malaysia, sambil memperjuangkan mitos berbahaya mengenai “penggunaan terkawal”.[1] Ini adalah satu pembohongan yang bahaya dan semata-mata didorong oleh aspek keuntungan. Kami berdiri teguh bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)[2] dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)[3] yang telah mengisytiharkan secara jelas bahawa semua jenis asbestos, termasuk krisotil, adalah sangat tinggi kandungan karsinogenik yang menyebabkan kanser. Sama sekali tiada tahap pendedahan yang selamat terhadap asbestos.

Tambahan pula, cubaan ICA untuk memanipulasi penghakiman Tribunal Hijau Kebangsaan (NGT) India pada Oktober 2025[4] adalah mengelirukan dengan sengaja. ICA member gambaran palsu bahawa keputusan ini adalah penolakan terhadap pengharaman asbestos dan sebagai sokongan kepada industri tersebut.

Realitinya, NGT telah member tamparan hebat kepada hujah pertahanan utama pelobi asbestos. Tribunal secara jelas menolak mitos industri yang telah lama wujud bahawa gentian krisotil “terkunci” dengan selamat di dalam produk simen asbestos. Malah, NGT memutuskan bahawa ia sememangnya melepaskan gentian maut semasa proses luluhawa (weathering) dan kerosakan. NGT secara rasmi dan dari segi undang-undang mengklasifikasikan gentian asbestos sebagai bahan pencemar udara, air, dan alam sekitar, mengiktiraf betapaserius dan bahaya melalui pendedahan bukan pekerjaan, dan memandatkan kerajaan India untuk merangka pelan tindakan segera mengenai penggunaan bahan asbestos. NGT tidak menyokong penggunaan bumbung simen asbestos di sekolah, tetapi sebaliknya, ia telah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan India untuk merangka dasar mengenai isu ini. Cubaan untuk memutar belitkan “keputusan yang mendedahkan bahaya produk mereka” kepada kononnya sebuah “kemenangan” adalah satu penipuan terdesak oleh industri yang semakin kesuntukan masa.

Seperti yang dinyatakan, industri asbestos global sedang mengalami kemerosotan yang teruk. Buat pertama kalinya sejak 1950, pengeluaran global telah jatuh di bawah paras satu juta tan. Dunia kini sedang bergerak kehadapan. Malah Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menguatkuasakan pengharaman ketat ke atas semua bahan yang mengandungi asbestos dalam projek-projeknya bermula Januari 2026. Malaysia mesti bertindak sejajar dengan piawaian global dan bukannya membiarkan negara ini terus menjadi tapak pembuangan bagi industri toksik yang sedang nazak.

Data diperoleh daripada Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS). Carta dihasilkan oleh IBAS.[5]

Walau bagaimanapun, ketidakselarasan dalam dasar domestic kita pada masa ini sukar untuk diabaikan. Kerajaan Malaysia telah mengharamkan penggunaan asbestos di semua bangunan kerajaan, termasuk pejabat, sekolah, hospital, dan klinik sejak tahun 2005 lagi. Mengapakah karsinogen Kumpulan 1 yang diketahui ini masih dibenarkan dalam industri swasta dan rumah kediaman? Sistem dua darjat yang hanya melindungi segmen populasi tertentu iaitu kesihatan pegawai Kerajaan akan tetapi mendedahkan pekerja biasa, pengguna, dan keluarga kepada asbestos maut adalah bersifat diskriminasi dan tidak boleh diterima.

Menangguhkan pengharaman ini ibarat bom jangka bagi system penjagaan kesihatan awam kita. Penyakit berkaitan asbestos (ARD), seperti mesotelioma dan asbestosis, mempunyai tempoh kependaman (latensi) antara 20 hingga 40 tahun. Kita hanya perlu melihatke Australia, di mana, walaupun telah mengharam asbestos berdekad lamanya, negara itu masih bergelut dengan peningkatan tragis dalam kematian berkaitan asbestos, dengan kira-kira 4,000 rakyat Australia maut akibat ARD setiap tahun kesan pendedahan masa lalu. Setiap hari kita menangguhkan fasa peralihan dan pelaksanaan pengharaman secara menyeluruh ke atas asbestos di Malaysia, kita menghukum generasi masa depan dengan penderitaan yang sebenarnya boleh dicegah, dan membebankan ekonomi kita dengan kos penjagaan kesihatan yang sangat besar yang sepatutnya boleh dielakkan.

Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk kekal tegas menentang sebarang pengaruh atau lobi daripada industri ini. Kami mendesak pihak pentadbiran untuk memulihkan keyakinan awam dengan membuktikan bahawa kesihatan rakyatnya adalah keutamaan tertinggi. Kami menuntut libat urus pemegang taruh yang segera, penerbitan kertas kerja kerajaan mengenai pengharaman asbestos, dan pengumuman garis masa yang jelas serta tiada kompromi untuk pengharaman sepenuhnya. Pengharaman asbestos secara menyeluruh di peringkat nasional yang telah sekian lama tertangguh perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Akhir sekali, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dan melawan sebarang pengaruh industri asing. Pengharaman asbestos pada asasnya adalah satu isu kepentingan negara. Kelewatan dalam melaksanakan pengharaman hanya memberi keuntungan kepada konglomerat asbestos asing dengan mengorbankan nyawa rakyat Malaysia secara langsung. Nasib dan kesihatan kita mesti diputuskan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia. Jangan beri sebarang ruang kepada industri asbestos untuk menentukan masa depan kita.

Disokong oleh:

1. Building and Woodworkers’ International (BWI)
2. Consumers’ Association Penang (CAP)
3. Health and Safety Advisory Center (HASAC)
4. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
5. Malaysian Medical Association (MMA)
6. National Cancer Society Malaysia (NCSM)
7. Malaysian Trade Union Congress (MTUC)
8. UNI Malaysia Labour Centre (UNI-MLC)
9. Labour Law Reform Coalition (LLRC)
10. Malayan Nurses Union (MNU)
11. Sabah Medical Services Union (SMSU)
12. Sarawak Medical Services Union (SMSU)
13. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
14. Greenpeace Malaysia
15.Third World Network (TWN)
16. Malaysian Nature Society
17. Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA)
18. Sabah Timber Industry Employees Union (STIEU)
19. Kesatuan Pekerja-pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (KPPPKNS)
20. Malay Forestry Officers Union (MFOU)
21. Union of Forestry Employees Sarawak (UFES)
22. National Union of Transport Equipment and Allied Industries Workers (NUTEAIW)
23. National Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber Product (NUECMRP)
24. Paper and Paper Products Manufacturing Employees Union (PPPMEU)
25. Electronics Industry Employees Union Coalition (EIEUC)
26. National Union Of Textile, Garment, Leather, Fibre, Plastic of Peninsular Malaysia (NUTGLFP)
27. Sarawak Bank Employees’ Union (SBEU)
28. North South Initiative (NSI)
29. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section (KLSCAH Youth)
30. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Civil Rights Committee (KLSCAH-CRC)
31. Mandiri
32. Treat Every Environment Special (TrEES)
33. Rimba Watch Malaysia
34. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
35. SIUMAN Collective
36. Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY)
37. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
38. Environmental Protection Society Malaysia (EPSM)
39. Agora Society Malaysia
40. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam
41. Persatuan Penduduk Bukit Manda’rina Fasa 2, Kuala Lumpur

 

1 April 2026

 

[1]Laman web Persatuan Krisotil Antarabangsa (ICA). https://chrysotileassociation.com/news/n_list.php

[2]Laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/asbestos

[3]Laman web PertubuhanBuruhAntarabangsa (ILO). https://www.ilo.org/resource/news/ilo-adopts-new-measures-occupational-safety-and-health-employment

[4]Penghakiman Tribunal Hijau Kebangsaan (NGT) India mengenai asbestos. https://www.greentribunal.gov.in/gen_pdf_test.php?

[5] Website of the United States Geological Survey (USGS).

https://www.usgs.gov/centers/national-minerals-information-center/asbestos-statistics-and-information