
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025) mendedahkan 18.8 peratus warga emas di negara ini tinggal bersendirian, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun berkata 61.3 peratus daripada golongan itu masih mempunyai tahap sokongan sosial tinggi walaupun berdepan cabaran sistemik termasuk kekangan mobiliti dan bebanan kewangan.
“Dengan populasi warga emas kini mencecah 4.1 juta orang dan hampir satu per lima tinggal bersendirian, kekangan pengangkutan menjadi hambatan utama untuk mereka mendapatkan rawatan kesihatan secara konsisten.
“Ia bukan sekadar isu logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025): Kesihatan Warga Emas di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, cabaran kedua ialah isu bebanan kewangan kepada warga emas dan penjaga mereka yang mana satu daripada tiga penjaga dilaporkan memikul bebanan berat melampau, merangkumi aspek fizikal, emosi dan tekanan kewangan signifikan.
“Kekangan ini semakin meruncing memandangkan hanya 40 peratus rakyat mempunyai simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang mencukupi untuk hari tua.
“Dilema ekonomi ini memaksa keluarga mendahulukan keperluan asas sehingga aspek jagaan kesihatan terpaksa diketepikan,” katanya.
Dari segi kesihatan mental, beliau berkata kadar kemurungan dalam kalangan warga emas menunjukkan penurunan kepada 8.0 peratus berbanding 11.2 peratus pada 2018.
Katanya, kebergantungan fizikal bagi aktiviti kehidupan harian turut menunjukkan penurunan.
“Namun, hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini dikategorikan sebagai menua secara sejahtera merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi dan fizikal,” katanya.
Beban NCD meningkat ketara
Selain itu, Dzulkefly berkata beban penyakit tidak berjangkit (NCD) meningkat ketara apabila 73 peratus warga emas menghidap hipertensi, kolesterol tinggi (76 peratus) dan diabetes (39 peratus).
Katanya, sebanyak 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit kronik, manakala 30 peratus menghidap ketiga-tiga penyakit terbabit.
“Hasil dapatan tinjauan juga mendapati 30.6 peratus warga emas tidak aktif secara fizikal, menyumbang kepada 45 peratus mengalami sarkopenia, manakala 60 peratus lagi berisiko mengalami kerapuhan fizikal (frailti),” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata laporan NHMS 2025 bukan sekadar statistik, malah mencerminkan realiti kehidupan warga emas serta menjadi panduan strategik kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Data ini adalah kompas moral dan strategik dalam memantau Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023–2030 yang sedang dilaksanakan.
“Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2036 dengan lebih 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas.
“Kepantasan ini antara yang terpantas di dunia dan kita tidak mempunyai masa yang mewah. Kita perlu bertindak sekarang,” katanya.
Sumber: Berita Harian (20 April 2026)

