
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal masalah pencemaran Sungai Ketil di Gua Musang, Kelantan masih berlaku walau pun sudah berlarutan sejak lebih lima tahun yang lalu tanpa tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.
Berikutan kejadian itu banyak ikan spesies kelah, baung dan lampam di dalam sungai tersebut telah menjadi mangsa sekali gus menjejaskan hasil tangkapan dan sumber pendapatan penduduk-penduduk di kawasan tersebut.
Penduduk tempatan mendakwa masalah pencemaran ini berlaku berpunca dari pembuangan sisa kilang menyebabkan air Sungai Ketil menjadi hitam, berbuih dan berbau busuk.
CAP telah beberapa kali mengemukakan isu ini kepada Jabatan Alam Sekitar Sekitar (JAS) Kelantan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah tersebut namun baru-baru ini kejadian serupa berulang lagi (laporan akhbar Berita Harian,18 April 2026 )
CAP berpendapat Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan mengenakan hukuman yang setimpal ke atas pihak yang dikenal pasti mencemarkan sungai ini.
CAP percaya jika keadaan ini berterusan kualiti air Sungai Ketil akan terjejas dengan lebih serius lagi dan ikan yang menjadi sumber tangkapan utama penduduk tempatan mungkin pupus dalam jangka masa terdekat. CAP juga bimbang, masalah ini boleh menjejaskan kesihatan penduduk jika air sungai tersebut digunakan oleh mereka untuk keperluan harian.
Justeru itu, CAP berharap Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi perhatian serius mengenai masalah ini dengan melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci mengapa punca kejadian tersebut gagal ditangani dengan berkesan walau pun sudah lama berlaku.
Laporan siasatan dan tindakan yang dibuat perlu didedahkan kepada orang ramai terutama penduduk-penduduk di kawasan yang terlibat bagi meredakan kebimbangan mereka yang selama ini bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan di dalam sungai tersebut.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 23 April 2026

